Selasa, 1 Oktober 2019 | 11:53am
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. NSTP/Malai Rosmah Tuah.
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. NSTP/Malai Rosmah Tuah.

Pembangunan, pengurusan hutang perlu seimbang - Guan Eng

PUTRAJAYA: Maklumat boleh mempunyai impak positif dan negatif, bergantung bagaimana ia dilihat dan mengenai tahap hutang negara, semuanya berjalan lancar berikutan kerajaan mengimbanginya mengikut kemampuan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Dalam ekonomi defisit, kita tidak boleh mengelak daripada membuat pinjaman, tetapi penting bagaimana ia disalurkan,” katanya.

Guan Eng menegaskan hutang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang dengan mudah membawa kepada pembiayaan luar belanjawan untuk menyembunyikan hutang yang meragukan.

Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan, yang mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.087 trilion hingga akhir 2017.

Walaupun jumlah hutang dan liabiliti kerajaan berkurangan kepada 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 berbanding 79.3 peratus pada 2017, hutang langsung naik kepada 51.2 peratus daripada KDNK berbanding 50.1 peratus.

“Ini (hutang langsung meningkat) pada dasarnya untuk membiayai defisit fiskal kita, terutama perbelanjaan pembangunan, (walaupun) kami (PH) tidak melaksanakan apa-apa projek mega (baharu).

“Ini adalah projek pembangunan di bawah rancangan lima tahun (Rancangan Malaysia Ke-11 2016-2020). Perbelanjaan pembangunan perlu diteruskan, terutama dalam bidang penting seperti hospital dan infrastruktur awam,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BERNAMA.

Di bawah kerajaan BN, defisit atau kekurangan ini dilindungi oleh hasil kerajaan.

“Tetapi kami tidak boleh berbuat demikian di bawah pentadbiran sekarang berikutan kami perlu menggunakan sebahagiannya untuk membayar bayaran faedah dan obligasi hutang. Misalnya, kami sudah mula membayar faedah dan obligasi hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” katanya.

Pembayaran berkaitan 1MDB akan meningkat sebelum ia mula berkurangan selepas 10 tahun.

“Ingat skandal yang membabitkan RM52 bilion (termasuk faedah) dengan tempoh 20 tahun. Pada 2020 sahaja, kami melihat kenaikan faedah bayaran hutang hingga RM2 bilion,” katanya.

Obligasi dan bayaran tambahan itu dilakukan dengan berhati-hati oleh kerajaan terdahulu, menjadikan lembaran imbangan seolah-olah mempunyai ruang untuk meminjam lagi.

Bagaimanapun, kerajaan PH amat terbuka mengenai bagaimana ia membiayai projek-projek pembangunan, dalam bentuk pinjaman yang membawa kepada peningkatan hutang langsung.

Wang daripada Tabung Harapan Malaysia yang berjumlah RM203.29 juta hingga 31 Mac 2019, akan digunakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini untuk menyelesaikan sebahagian hutang dan obligasi faedah 1MDB.

Dalam temu bual yang berlangsung hampir satu jam, menteri kewangan itu jelas dalam mesejnya bahawa antara perbelanjaan pembangunan dan menguruskan hutang negara, ia perlu seimbang. Kedua-duanya perlu seiring selagi ia mengikut kemampuan.

Setakat ini, Guan Eng berkata, kerajaan PH amat komited kepada penyatuan fiskal 3.4 peratus pada 2019.

“Kami berhasrat untuk kekal kepada sasaran itu,” katanya.

“Walaupun kita mempunyai defisit fiskal, kita tidak menghadapi defisit berkembar. Kita menikmati Lebihan Akaun Semasa, itu amat penting. Kita adalah antara negara yang sangat sedikit di dunia tanpa defisit berkembar dan ia memberi banyak keyakinan,” katanya.

Lebihan akaun semasa bermaksud sebuah ekonomi yang mengeksport lebih banyak nilai barangan dan perkhidmatan daripada mengimportnya.

Ekonomi negara turut terus kukuh walaupun terdapat cabaran luaran dengan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus dicatatkan pada suku kedua tahun ini daripada 4.5 peratus pada suku pertama.

Oleh itu, terdapat ruang yang mencukupi untuk langkah-langkah luar jangka atau pakej rangsangan jika senario ekonomi global memerlukannya.

“Kami masih berharap rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan berjaya supaya kita terus menikmati pertumbuhan ekonomi mapan,” katanya.

Guan Eng berkata, tempoh tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskal negara adalah kekal.

“Terdapat cakap-cakap mengenai kemungkinan kemelesetan ekonomi pada tahun depan (tetapi) saya tidak fikir ia akan memberi kesan kepada pelan pemulihan tiga tahun kita untuk meletakkan Malaysia kembali di landasan menjelang 2021 – dari segi fiskal.

“Dengan langkah-langkah awal yang sesuai, kita akan dapat meneruskan pelan pemulihan kedudukan fiskal negara dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataan, Guan Eng berkata, kerajaan baharu mendapat pujian daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis pelaburan atas ketelusan yang meningkat dan standard tadbir urus yang baik.

“Pengesahan berulang mereka bagi penarafan negara kita pada A-/A3 sejak itu, walaupun ketelusan meningkat dalam lembaran imbangan kita, menunjukkan keyakinan mereka bahawa kerajaan ini mengambil langkah-langkah tegas untuk menangani kelemahan.

“Kini, kami berharap rakyat dapat melihat bahawa kami mencatat kemajuan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X