Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:02am
Orang ramai menunggu giliran untuk membuat pendaftaran sebelum berjumpa doktor di Hospital Selayang. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

2 jam tunggu mendaftar di Hospital Selayang

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 10 minit berada di kawasan pendaftaran pesakit yang terletak di tingkat tiga Hospital Selayang, dekat sini seluruh tubuh mula terasa hangat dan berpeluh.

Terasa sesak dada kerana terpaksa berdiri sambil berhimpit dengan ratusan pesakit lain yang menanti nombor masing-masing dipanggil menerusi skrin digital yang dipaparkan di situ.

Setiap bangku sudah diduduki pesakit sama ada warga emas, ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak semuanya berkumpul di tempat yang sama.

Selebihnya ramai pesakit tanpa mengira usia terpaksa berdiri berjam lamanya sementara menanti nombor mereka dipanggil.

Ini suasana dilalui pesakit di hospital itu selama lebih sejam dan sesetengahnya mencecah dua jam hanya untuk mendaftar dan membuat pembayaran RM3 sehingga RM5.

Tinjauan BH mendapati, daripada enam kaunter pendaftaran, hanya tiga saja kelihatan aktif memanggil nombor pesakit. Tiga lagi kelihatan tiada kakitangan di situ.

Pesara kerajaan, Saharudin Ismail, 59, berkata dia terpaksa menunggu antara sejam sehingga dua jam untuk mendaftar selepas mengambil nombor.

“Saya sampai dari Ampang jam 8 pagi, ambil nombor giliran lebih 100 pesakit lain di hadapan saya.

“Selepas dua jam tidak dipanggil lagi untuk daftar, saya jangkakan, jam 12 tengah hari baru dapat jumpa doktor dan ambil ubat. Mungkin jam 2 petang baru dapat balik,” katanya.

Beliau yang menghidap kanser hati, menghadiri temu janji untuk berjumpa pakar bius bagi menjalani pembedahan yang bakal ditetapkan kemudian.

Saharudin mencadangkan sistem pendaftaran dipertingkatkan termasuk menyediakan lebih banyak kaunter.

Selain masalah menunggu lama untuk pendaftaran, Saharudin berkata sukar mencari tempat untuk parkir keretanya.

Pada hari berkenaan, beliau terpaksa meletakkan keretanya di kawasan forensik yang terletak kira-kira dua blok dari blok pakar.

“Berdasarkan pengalaman mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Ampang, ia lebih tersusun di mana semua proses mendaftar sehingga mengambil ubat hanya dua jam saja berbanding Hospital Selayang, empat jam,” katanya.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Zuraidah, 46, berkata beliau datang dari Puchong, membawa suaminya untuk menjalani pemeriksaan akibat ketumbuhan pada usus.

“Saya terpaksa membawa bekal makanan untuk diri dan suami setiap kali ke hospital kerana akan berada di hospital ini sehingga jam dua atau tiga petang.

“Mula-mula dulu saya datang sebelum subuh sebab nak cari parkir kereta tetapi saya dapati walaupun datang jam 9, saya balik pada masa yang sama iaitu di sebelah petang juga,” katanya.

Katanya, proses pendaftaran biasanya memakan masa lama iaitu antara sejam sehingga dua jam sedangkan tempoh berjumpa doktor tidak terlalu lama.

Beliau terpaksa menunggu nombor giliran dengan lebih 80 orang lagi pesakit lain di hadapannya pada hari itu dan perlu berdiri sepanjang masa menunggu nombornya dipanggil.

Suri rumah, Norhafizah Ariffin, 50, berkata beliau tiba kira-kira jam 7 pagi dan hanya selesai mendaftar pada jam 9 pagi.

“Saya keluar rumah dari Batang Kali, Rawang pada jam 6 pagi tadi sebab hendak dapat nombor giliran cepat tetapi awal pagi pun sudah ramai yang beratur di kaunter untuk mengambil nombor.

“Akibatnya saya menunggu dua jam untuk proses pendaftaran dan baru dapat berjumpa dengan doktor, 20 minit selepas itu,” katanya.

Norhafizah yang dihantar suaminya, datang untuk menjalani pemeriksaan susulan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di belakang telinganya pada Disember lalu.

Sementara itu, sumber dari unit perhubungan awam Hospital Selayang yang ditemui, menyedari masalah yang dihadapi pesakit.

“Setiap hari kakitangan kami perlu melayan lebih 3,000 pesakit yang datang daripada seluruh pelosok negara dan hari ini saja, lebih 1,800 pesakit datang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

“Hospital Selayang adalah hospital rujukan pelbagai penyakit termasuk dari Sabah dan Sarawak, menyebabkan keadaan sesak setiap hari,” katanya.

Datang seawal jam 5.30 pagi untuk dapat parkir

Ada pesakit yang datang seawal jam 5.30 pagi di Hospital Serdang, Selangor hanya untuk mendapatkan parkir yang dekat dengan bangunan itu, selain mengelak sesak di kaunter bagi mendapatkan nombor giliran pendaftaran sebagai pesakit luar.

Inilah yang dilalui oleh pesakit buah pinggang Alex Teh, 61, walaupun tinggal di Serdang, tetapi tidak kisah datang awal pagi, asal sahaja mendapatkan parkir dalam pekarangan hospital.

Katanya, beliau akan ke hospital itu sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk menjalani rutin pemeriksaan biasa dan mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

“Lebih elok saya datang awal pagi supaya tak berebut parkir. Kalau lewat tak dapat parkir kerana jam 8 pagi semua parkir sudah penuh.

“Bukan setakat itu, saya terpaksa menolak kereta lain yang parkir di depan kereta saya selepas selesai urusan di hospital. Kalau tak, langsung saya akan terperangkap dan tidak dapat keluar dari sini.

“Di sini memang selalu orang parkir kereta berlapis. Kadang-kadang mereka meletak kereta dan tarik brek tangan. Ada kalanya saya tidak dapat tolak, nasib baik pemilik kereta meninggalkan nombor telefonnya. Sudah jadi satu kerja pula terpaksa menelefon menerusi nombor yang ditinggalkan. Kira-kira 10 minit, kemudian mereka datang alihkan kereta,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kesesakan di ruang meletakkan kenderaan di hospital itu.

Tinjauan BH di Hospital Serdang, mendapati kesesakan di kawasan parkir seawal jam 8 pagi, kereta sudah diletakkan secara berlapis di kiri dan kanan, sehingga hanya lorong kecil dibiarkan kosong, muat-muat sebiji kereta saja boleh melalui di bahagian tengahnya.

Malah, ada pemandu yang mengambil risiko disaman dengan meletakkan kereta di kiri dan kanan sepanjang Jalan Hospital Serdang.

Kebanyakan pesakit diberikan pilihan untuk meletak kereta di parkir alternatif Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) terletak, kira-kira dua kilometer dari hospital itu.

Bagaimanapun, parkir berkenaan tidak dikenakan bayaran selepas dua jam pertama tetapi bayaran RM3, selepas sejam.

Suri rumah dari Puchong, Sharifah Ismail, 51, berkata tidak semua pesakit mahu parkir kereta di luar kawasan hospital kerana ia dikenakan bayaran berbanding petak parkir di depan hospital.

“Hanya dua van shuttle disediakan yang berulang alik menghantar pesakit ke hospital dan membawa pulang ke parkir. Jumlah pesakit yang ramai pada satu masa memaksa kami menunggu van shuttle kira-kira 10 minit untuk ke hospital.

“Itu belum lagi dikira waktu menunggu untuk berjumpa doktor yang memakan masa satu hingga tiga jam lamanya,” katanya.

Beliau sering menghantar suaminya yang mengalami masalah jantung untuk rawatan susulan sebanyak dua bulan sekali.

Justeru, beliau menggesa pihak pengurusan seharusnya berbuat sesuatu untuk mengurangkan pelbagai masalah berkaitan sama ada kesesakan di kaunter ketika mengambil nombor giliran pendaftaran pesakit atau menunggu mengambil ubat dan rawatan susulan doktor berkaitan.

Berita Harian X