Ahad, 29 September 2019 | 6:03pm
BATU KAWAN 28 SEPTEMBER 2019. Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2019 di Perkarangan Stadium, Batu Kawan Pulau Pinang. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL.
BATU KAWAN 28 SEPTEMBER 2019. Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2019 di Perkarangan Stadium, Batu Kawan Pulau Pinang. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL.

400,000 pengunjung banjiri Karnival Jom Heboh

BATU KAWAN: Seramai 400,000 pengunjung membanjiri Karnival Jom Heboh edisi Pulau Pinang yang berlangsung di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini, bermula semalam hingga hari ini.

Sejak semalam, orang ramai tidak putus-putus membanjiri tapak karnival untuk mengambil peluang bertemu dan beramah mesra bersama artis tanah air dan selebriti Media Prima yang dibawakan khas pada acara terbabit.

Selain itu, lebih 100 gerai jualan turut disajikan kepada pengunjung bagi memberi pilihan kepada mereka membeli-belah pada harga murah.

Biarpun cuaca panas terik, namun ia tidak menjadi halangan untuk mereka mengunjungi karnival yang diadakan setiap tahun ini.

Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2019 di Perkarangan Stadium, Batu Kawan Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2019 di Perkarangan Stadium, Batu Kawan Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), Johan Ishak, berkata Pulau Pinang adalah destinasi keempat siri jelajah Karnival Jom Heboh selepas Shah Alam, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

“Menerusi karnival ini, pengunjung berpeluang untuk beramah mesra bersama artis jemputan yang dibawakan khas ke Pulau Pinang seperti Atiq Azman, Anas Ridzuan, Syafi DFKL, Sissy Imann dan Qody Mentor.

“Selain itu, pengunjung juga sempat bertemu dan beramah mesra dengan personaliti TV3 seperti Teh Syuhaida, Anim Ezati Rizki, Muaz Mohamed, Hefny Sahad, Anwar Afiq dan Adzrie Faiz yang akan membuat siaran lintas langsung di kaca televisyen.

“Pengunjung juga turut serta dalam pelbagai aktiviti untuk siaran langsung yang diadakan dan menonton demonstrasi masakan bersama Cef Naem dan banyak lagi aktiviti bersama selebriti di sana,” katanya.

Johan berkata, pengunjung juga dihiburkan di pentas Hot Kool Jam dengan persembahan Ziana Zain, Ella, Ramlah Ram, Siti Nordiana, Ara Johari, Haiza, Datuk Hattan, Kugiran Masdo, Khai Bahar, Ismail Izani, Sufian Suhaimi dan Kumpulan Neon.

Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2019, di Perkarangan Stadium, Batu Kawan Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2019, di Perkarangan Stadium, Batu Kawan Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Menurutnya, pada penganjuran tahun ini, pihaknya menambah beberapa lagi tarikan terbaru di Karnival Jom Heboh termasuk ruang aktiviti E-Sukan dan Peraduan Jom Menang Kereta yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memenangi kereta Nissan Serena 2.0L Highway Star.

Katanya, pada malam ini, pengunjung dapat berhibur di Konsert Jom Heboh bersama Kumpulan Ekamatra, Rahmad Mega, Azlan Typewriter, Amelina, Shiha Zikir, Wani Syaz dan Tajul.

Karnival turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang meluangkan masa melawat sekitar tapak karnival.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid serta Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima berhad, Datuk Kamal Khalid.

Berita Harian X