Ahad, 29 September 2019 | 1:16pm
Kulasegaran (memegang cangkul, kiri) bersama penduduk taman menanam pokok pada Program Bumi Hijau bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tasek Manikavasagam di Ipoh, hari ini. - NSTP/Abdullah Yusof

Tindakan tegas ke atas kolej, pusat kemahiran janjikan PTPK

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kolej atau pusat latihan kemahiran yang didapati menipu dan membuat promosi mengelirukan, termasuk menjanjikan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sedangkan pinjaman berkenaan masih belum diluluskan.

Menterinya, M Kulasegaran berkata, dalam memastikan bayaran dana PTPK disalurkan, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan terhadap pusat latihan berkenaan terlebih dahulu bagi memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan.

“Ada proses untuk tindakan (terhadap kolej yang terbabit). Kita akan pergi periksa dan jika mereka ikut (melaksanakan) kursus yang diiktiraf, semua (kursus yang dilaksanakan) melepasi pemeriksaan oleh PTPK, dana akan disalurkan melalui bayaran ansuran.

“Pembayaran (dana) bukan macam sebelum ini iaitu bayaran sekali gus, selain itu peminjam dan kolej juga perlu memberikan aku janji melalui surat bahawa mereka ada majikan untuk pelatih yang menjalani latihan di tempat mereka, ini antara syarat yang sudah pun ditetapkan,” katanya selepas menghadiri Program Bumi Hijau bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tasek Manikavasagam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH hari ini mengenai taktik licik pusat latihan kemahiran swasta yang didakwa menjerat pelajar hingga terpaksa membuat pinjaman bank bagi membiayai kos pengajian selepas pinjaman PTPK tidak diluluskan.

Berikutan itu, ramai pelatih di pusat latihan kemahiran swasta kini terpaksa menamatkan latihan separuh jalan selepas tidak mendapat pinjaman PTPK.

Kulasegaran berkata, pihaknya akan menghantar pegawai untuk menyiasat perkara itu bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pusat latihan berkenaan.

“Saya belum membaca sepenuhnya laporan akhbar, tetapi saya akan memastikan pegawai di kementerian ini dihantar secepat mungkin dan melaksanakan tindakan sewajarnya.

“Sebelum ini memang pembayaran dana PTPK kepada penyedia latihan dibuat sekali gus, tetapi sekarang ia dibuat mengikut fasa dengan pembayaran permulaan sebanyak 40 peratus, fasa kedua 40 peratus dan yang terakhir 20 peratus.

“Kita juga kerap kali turun padang dan ada pegawai yang membuat pemeriksaan, jika ada tindakan sedemikian, kementerian akan terus mengambil tindakan tegas termasuk menahan bayaran dana pembiayaan dan mengheret mereka ke mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kulasegaran berkata, pihaknya mengharapkan supaya institut latihan di bawah KSM akan dapat mengambil lebih ramai pelatih dari kalangan masyarakat Orang Asli bagi membolehkan mereka memanfaatkan latihan yang disediakan kerajaan.

“Hari ini juga, pada program ini saya bawa tujuh pelatih Orang Asli di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh supaya mereka boleh membiasakan diri dengan kehidupan bermasyarakat dan berinteraksi dengan masyarakat dengan lebih baik,” katanya.

Katanya, jumlah itu adalah di peringkat permulaan dan KSM akan membawa lebih ramai lagi pelatih Orang Asli untuk mendapatkan latihan di pusat latihan yang disediakan kerajaan dengan kos ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya.

Berita Harian X