MELAKA: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan memohon peruntukan baharu sempena pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, pada 11 Oktober ini bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai aktiviti agensi berkenaan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon, berkata ia adalah perkara biasa setiap tahun memohon kepada kerajaan bagi membolehkan perancangan dapat dilaksanakan.
Jamil berkata, peruntukan terbabit mampu menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti agensi termasuk membabitkan siswa dan siswi seperti Briged Rela Siswa Siswi Malaysia (RELASIS) di seluruh negara.
“Tahun ini agensi berkenaan memperolehi peruntukan tambahan RM12 juta sementara peruntukan bagi belanjawan baharu belum diketahui jumlahnya dan terserah kepada kelulusan kerajaan.
“Peruntukan terbabit turut digunakan untuk kemudahan infrastruktur dan penambahbaikan pusat-pusat latihan RELA .
“Sementara permohonan pembinaan pusat baharu juga dalam pertimbangan untuk dibawa kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pentauliahan RELASIS 2019, di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Jasin di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.
RELASIS membabitkan siswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Politeknik serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) seluruh Malaysia.