Sabtu, 28 September 2019 | 3:24pm
RINA (dua, kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pada Program Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat Negeri Sembilan di Politeknik Nilai.- Foto BERNAMA
RINA (dua, kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pada Program Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat Negeri Sembilan di Politeknik Nilai.- Foto BERNAMA

Program Botani Desa dapat kurangkan belanja dapur

NILAI: Usaha menggalakkan pertanian secara kecilan dalam kalangan wanita di kawasan rumah bagi mengurangkan perbelanjaan barangan dapur, mampu dilaksanakan dengan adanya program Botani Desa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata program itu memberi peluang kepada wanita golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mendapat manfaat termasuk kursus pertanian serta pemberian peralatan termasuk benih.

Katanya, program oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Program ini adalah sebahagian daripada program Kesejahteraan Keluarga anjuran KEMAS yang menekankan teknik penanaman, penjagaan sehinggalah tuaian untuk hasil sendiri.

“Oleh itu wanita terutama suri rumah dan ibu tunggal yang terdiri daripada golongan B40 dan mempunyai kawasan di rumah yang sesuai untuk menanam sayur-sayuran, amat digalakkan menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Botani Desa dan Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Sri Putra, Politeknik Nilai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, sebagai permulaan KEMAS menyasarkan kira-kira 3,000 peserta dari setiap negeri untuk menyertai sebanyak 187 kursus yang akan diadakan di sebanyak 287 kelas Kemahiran KEMAS seluruh negara.

Katanya, ketika ini seramai 90 peserta di negeri ini sudah mendaftar untuk menyertai program berkenaan.

“Terdapat tiga kaedah penanaman yang akan diajar kepada peserta iaitu konvensional atau organik, ‘nutrient film technique’ (NFT) atau hidroponik dan mini fertigasi.

“Jadi saya berharap usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos sara hidup terutama perbelanjaan dapur, tetapi sekali gus memberikan ilmu baharu kepada peserta dalam memastikan tanaman mereka berhasil dan dapat dinikmati seluruh keluarga,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya memohon peruntukkan sebanyak tiga kali ganda dalam Bajet 2020 bagi meningkatkan sosio-ekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar.

Katanya, bajet itu bukan sahaja untuk projek pembangunan infrastruktur dan fizikal tetapi turut membabitkan projek kesejahteraan rakyat.

“Bagi bajet infrastruktur seperti lampu jalan di kawasan kampung, kita sudah mendapat bajet sehingga tahun hadapan.

“Tetapi bajet tambahan yang kita minta itu bagi membaik pulih dan membina lebih banyak Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Selain itu bajet itu juga untuk membina jalan perhubungan desa, membaiki surau dan balai raya kerana ini kemudahan asas yang diperlukan masyarakat selain bekalan air dan elektrik,” katanya.

Berita Harian X