Jumaat, 27 September 2019 | 9:16pm
Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid (empat dari kanan), bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mahmud (lima dari kanan) menanam anak pokok bambu di program tanggungjawab sosial korporat sempena karnival Jom Heboh Penang 2019 di Taman Upcycle Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Media Prima, MBSP dan Western Digital erat hubungan melalui CSR

BUKIT MERTAJAM: Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Western Digital (WD) mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Karnival Jom Heboh di negeri ini.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata program CSR menjadi acara tradisi bagi kumpulan itu setiap kali sebelum menganjurkan Jom Heboh bagi mengenali dan memahami latar belakang kawasan yang dikunjungi.

Beliau berkata, CSR sangat sinonim dan dekat di hati Media Prima apabila melaksanakan pelbagai program, antaranya membantu mereka yang dilanda bencana alam, menyantuni golongan gelandangan dan memberi bantuan perubatan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Hari ini pula, warga dan personaliti Media Prima bersama-sama menyertai dan mempromosikan program CSR berbentuk kesedaran dengan mengadakan aktiviti di Taman Upcycle, Bandar Perda yang kini menjadi tumpuan penduduk tempatan melakukan aktiviti riadah.


Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid (tiga dari kanan), Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mahmud (empat dari kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (kanan) ketika melawat gerai barangan terpakai di program tanggungjawab sosial korporat sempena karnival Jom Heboh Penang 2019 di Taman Upcycle Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

“Kita berterima kasih kepada MBSP dan WD kerana turut serta dalam memberi sumbangan bagi menjayakan program CSR ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam program CSR itu, Media Prima menyumbang 80 ekor ikan karp Taiwan yang dilepaskan ke dalam kolam berhampiran MBSP termasuk turut menanam pokok bagi memperindahkan lagi kawasan riadah berkenaan.

Syed Hussian berharap sumbangan itu dapat merancakkan kegiatan riadah bersama keluarga termasuk mengurangkan tekanan kerja.

Upcycle Park adalah taman riadah yang berkeluasan 9,684.5 meter persegi dan mempunyai keunikan tersendiri dengan penyediaan ruang yang dilengkapi barangan serta perkakasan diperbuat daripada bahan terpakai.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata program itu memberi manfaat kepada penduduk setempat di samping dapat bertemu personaliti TV3 dan artis tempatan.

“Kita juga mahu berterima kasih kerana memilih MBSP untuk menganjurkan program CSR ini yang mana di Upcycle Park sangat popular dikunjungi penduduk di sini.

“Di kawasan ini dianggarkan terdapat kira-kira 20,000 penduduk dan pastinya program ini memberi impak positif kepada mereka,” katanya.

Karnival Jom Heboh akan berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan selama dua hari bermula esok, dengan menampilkan pelbagai program dan acara menarik yang boleh disertai pengunjung.

Di samping beramah mesra dengan barisan personaliti dan selebriti TV3 dan Media Prima, pengunjung juga berpeluang untuk bertemu artis tanah air yang turut serta memeriahkan karnival berkenaan.

Berita Harian X