Jumaat, 27 September 2019 | 6:03pm
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengetua SMK Seksyen 7 Shah Alam, Siti Suaibah Said dan mentor beliau, Pensyarah UITM, Dr. Masturah Alias (dua dari kanan) yang merupakan sebahagian peserta "Highly Immersive Programme" pada Program Sepetang bersama Menteri Pendidikan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - Foto Aizuddin Saad

Proses penggabungan UMT, UniSZA berjalan lancar - Maszlee

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menegaskan proses penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sedang berjalan lancar mengikut jadual.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya yang menubuhkan jawatankuasa penggabungan sedang melakukan segala proses yang berkaitan bagi memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, jawatankuasa terbabit mewakili kementerian dan kedua-dua universiti.

“Mereka sedang melakukan segala proses libat urus di semua peringkat iaitu ahli lembaga pengarah, pengurusan tertinggi yang sebenarnya sudah berlaku.

“Proses ini akan berlaku di peringkat kakitangan, pelajar dan semua pemegang taruh. Apa yang saya dapat pastikan, ia berjalan mengikut jadual,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwi Bahasa Sekolah di bawah Highly Immersive Programmes (HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai proses penggabungan dua universiti di Terengganu itu.

BH semalam melaporkan UMT dan UniSZA bersetuju secara prinsip dengan penggabungan dua universiti itu, sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 4 September lalu.

Dalam kenyataan bersama Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di Kuala Terengganu, kedua-dua universiti bersetuju secara prinsip dengan penggabungan itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.

Berita Harian X