KUANTAN: Lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada pencari kerja terutama dalam sektor pelancongan di negara ini melalui Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
Timbalan Menteri Pelancongan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata sepanjang tahun lalu, sejumlah 3.4 juta peluang pekerjaan disediakan sektor pelancongan di negara ini.
Beliau berkata, jumlah itu menjadikan sektor pelancongan negara kekal kompetetif dalam menyediakan pekerjaan kepada rakyat tempatan, selain mampu terus menjana pendapatan kepada operator produk pelancongan di Malaysia menjelang VM2020.
“Sudah pasti peluang pekerjaan sedia ada ini boleh direbut oleh rakyat tempatan dan kita di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yakin ia dapat membantu menjayakan VM2020 yang dilancarkan Julai lalu.
“Kalau kita lihat kepada peluang (pekerjaan) ini, sektor pelancongan mewakili 23.4 peratus daripada keseluruhan peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia dan menjadi antara penyumbang terbesar kepada sektor yang menyediakan paling banyak peluang kepada penduduk di negara ini.
“Saya percaya dengan pelancaran VM2020 sebelum ini dan pelancaran bagi peringkat Pahang hari ini, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada pencari kerja, terutama dalam sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen VM2020 peringkat Pahang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali; Pengarah Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokthar dan Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Idros Yahya.
Muhammad Bakhtiar berkata, pihak kementerian akan meneruskan usaha mempromosikan pelbagai produk pelancongan yang ada di Pahang, selain mengenal pasti produk baharu untuk ditawarkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Negeri ini (Pahang) memiliki destinasi ekopelancongan yang pelbagai dan tahun lalu, seramai 9.2 juta pelancong domestik direkodkan mengunjungi pelbagai lokasi menarik di negeri ini.
“Saya dimaklumkan pihak Tourism Pahang dan Pejabat Pelancongan Seni dan Budaya negeri dengan kerjasama kerajaan Pahang menyediakan kira-kira 40 acara dalam kalendar pelancongan mereka tahun depan... ini jelas menunjukkan kesungguhan mereka dalam menjayakan VM2020,” katanya.
Diminta mengulas kejadian kebakaran di Pekan Sungai Lembing yang juga antara Tapak Warisan Negara, beliau berkata kejadian itu tidak menjejaskan status berkenaan dan kerajaan negeri sedang melakukan kerja pembinaan semula kawasan terbabit bagi memastikan lokasi itu kekal destinasi pilihan utama pelancong.