Khamis, 26 September 2019 | 11:29am
UMT dan UniSZA bersetuju secara prinsip terhadap penggabungan dua universiti itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya. - Foto NSTP

UMT, UniSZA bersetuju secara prinsip untuk gabung

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju secara prinsip terhadap penggabungan dua universiti itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.

Kedua-dua Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, serta UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan bersama, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan berkenaan, UMT dan UniSZA akan mengemukakan cadangan pelaksanaan penggabungan kepada Kementerian Pendidikan, bermula dengan bengkel anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada hari ini dan esok untuk pertimbangan selanjutnya.

“UMT dan UniSZA menerima surat bertarikh 20 September 2019 daripada JPT berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 4 September 2019, serta bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UMT dan UniSZA menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.


uniszaaaaaaPROF Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kiri) dan Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

“Keputusan itu juga adalah susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 April lalu yang mengarahkan Kementerian Pendidikan mengkaji cadangan supaya UMT digabungkan dengan UniSZA yang (terletak) berdekatan.

“Kami mengambil maklum Konsep Gabungan Sepenuhnya dicadangkan kerajaan dengan hasrat untuk memaksimumkan penggunaan sumber melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada.

“Ia bertujuan memperkasakan lagi kebitaraan bidang fokus kedua-dua universiti, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat, seterusnya melonjakkan prestasi atau pencapaian ke tahap lebih cemerlang pada peringkat global,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, UMT dan UniSZA berharap penggabungan itu dapat melonjakkan bidang tujahan utama UMT seperti marin, maritim, oseanografi dan perikanan, serta bidang tujahan utama UniSZA membabitkan pengajian Islam dan perubatan, ke peringkat global.

“Di samping itu, bidang ilmu lain di kedua-dua institusi ini turut diperkasakan, terutama dari segi kualiti serta pencapaian prestasi sama ada menerusi penjajaran program akademik dan strategi pengantarabangsaan.

“Integrasi dan kepelbagaian bidang berlainan seperti kejuruteraan, sains serta sains sosial di antara kedua-dua institusi ini dilihat mampu melahirkan graduan holistik dan memperkasakan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Berita Harian X