Selasa, 24 September 2019 | 3:27pm
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Pengguguran program akademik tidak jejaskan pensyarah

LIPIS: Pengguguran sebanyak 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) di seluruh negara tidak menjejaskan pensyarah sedia ada kerana kebanyakan mereka sudah meningkatkan kemahiran masing masing dengan perkembangan terbaru.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pengguguran itu dilakukan bagi memastikan kursus tidak relevan dengan perkembangan semasa, termasuk tidak menjanjikan peluang pekerjaan kepada graduan tidak lagi ditawarkan.

“Sebagai contoh, pensyarah bidang kejuruteraan tetap dalam fakulti sama tetapi ditawarkan kursus lebih berdaya saing seperti robotik dan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

“Sebenarnya pensyarah ini sudah bersedia menghadapi perubahan dalam bidang terbabit jadi graduan kita perlu dipersiapkan dengan permintaan semasa... kita bekerjasama rapat dengan industri dan perubahan ini juga adalah hasil perbincangan Kementerian, universiti dan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kolokium Pendidikan dan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, dekat sini, hari ini.

Maszlee diminta mengulas laporan BH, baru-baru ini berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran di UA akan distruktur semula agar selaras dan relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Penstrukturan semula itu antara lain akan menyaksikan program akademik tidak lagi memberi tumpuan kepada pengajian teori semata-mata, sebaliknya lebih bertumpu kepada kemahiran dan keupayaan graduan, manakala kaedah pengajaran oleh pensyarah akan dinilai semula.

BH difahamkan, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam proses menjayakan penambahbaikan berkenaan, termasuk inisiatif membawa masuk kira-kira 30 peratus kepakaran dari industri sebagai tenaga pengajar di setiap universiti dalam bidang berkaitan.

Syor lain ialah sesetengah program akademik di UA mengamalkan konsep pengajian dalam industri untuk memastikan graduan bukan setakat bergantung kepada kerja makan gaji, malah akan turut berupaya berdikari dengan menjadi usahawan.

Tempoh latihan amali graduan juga akan dipanjangkan menjadi enam bulan hingga setahun, berbanding purata 10 minggu ketika ini bagi memastikan mereka mampu menyerap kemahiran yang dipelajari sepanjang menjalani proses praktikal dengan lebih berkesan.

Sebelum itu, BH turut melaporkan sebanyak 38 program akademik di 19 UA seluruh negara digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa dan masa depan.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, pihak industri sendiri banyak membantu dalam membentuk kurikulum yang dipelajari di UA menepati keperluan pasaran kerja semasa.

“Bagi pelajar yang sedang mengikuti kursus yang dicadangkan untuk digugurkan, mereka tidak perlu risau kerana mereka juga akan didedahkan dengan kemahiran terkini,” katanya.

Berita Harian X