Selasa, 24 September 2019 | 3:00pm

JPT gugur 38 program akademik

KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) seluruh negara digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa dan masa depan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit, tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

Daripada 19 UA, setiap universiti mengugurkan sekurang-kurangnya dua kursus pengajian dan BH difahamkan, beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada digugur atau distruktur semula selaras perubahan pasaran pekerjaan di Malaysia.

Langkah berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan lepasan UA mampu memperoleh pekerjaan setimpal dengan kelulusan selepas mereka menamatkan pengajian, selain mengelak pengganguran dalam kalangan siswazah.

Berdasarkan senarai kursus digugurkan yang diperoleh BH, kebanyakan program akademik yang tidak lagi ditawarkan itu adalah berkaitan pengajian sains dan kejuruteraan yang sebelum ini menjadi pilihan pelajar cemerlang.

Antara program kejuruteraan peringkat sarjana muda yang digugurkan adalah kejuruteraan mekanik bagi pengajian reka bentuk produk, kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan elektrik telekomunikasi dan kejuruteraan elektronik komunikasi.

Bidang pengajian lain termasuk jurusan kimia dan matematik, psikologi sukan, keusahawanan dan perdagangan, pendidikan Islam bagi peringkat sekolah serta teknologi kreatif dan animasi.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir ketika mengesahkan perkara itu kepada BH, berkata pihaknya mengenal pasti kursus pengajian terbabit selepas meneliti perkembangan semasa.

Katanya, JPT perlu memastikan setiap kursus akademik ditawarkan UA di negara ini relevan dengan perkembangan semasa serta peluang pekerjaan selepas pelajar menamatkan pengajian.

“Data analitik hari ini menunjukkan industri memerlukan 20,000 kepakaran yang disalurkan daripada universiti. JPT perlu memastikan setiap siswazah kita memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“Kita perlu mendepani Revolusi Industri 4.0 yang sedang melanda. Justeru, ada program akademik perlu diganti dengan program baharu yang harus selari dengan keperluan industi,” katanya.

Siti Hamisah berkata, JPT sudah meminta setiap universiti di negara ini untuk mengenal pasti dan seterusnya merekabentuk semula program-program akademik agar sejajar dengan perkembangan industri.

“Kita perlu berbuat demikian kerana program akademik harus selari dengan keadaan semasa. Contohnya, program pengajian komunikasi dan media, kita kena tahu apa perbezaan dalam industri media hari ini dengan industri media pada masa lalu.

“Kursus itu tidak boleh tidak ditawarkan, tetapi kita kena tahu apa perbezaan media hari ini dengan yang lalu. Program-program menyokong perubahan teknologi juga perlu diwujudkan, contohnya berkaitan data analitik dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Ditanya sama ada pengajian berkaitan sejarah dan sastera masih diperlukan ketika negara melalui perubahan teknologi begitu pesat, beliau berkata, program akademik sedemikian penting bagi pembangunan negara dan masyarakat.

“Tidak semua program yang ada perlu dilihat semula kerana ada pengajian dalam aliran itu yang masih relevan dengan pembangunan negara. Contohnya, pengajian Melayu serta sejarah yang penting untuk semua pihak,” katanya.

“Namun, situasinya adalah berlainan bagi program berbentuk pengurusan maklumat yang perlu mengikut perubahan semasa dan keperluan industri,” katanya.

Berita Harian X