Isnin, 23 September 2019 | 4:06pm
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan bertitah pada Upacara Konvokesyen Komemoratif Sempena Ulang Tahun Ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang. Turut bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tiga dari kiri) dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail (kiri). - Foto Danial Saad

USM perlu sentiasa fikir, rancang lakar senario akan datang

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) perlu sentiasa memikirkan dan merancang untuk melakar senario dunia akan datang di sebalik perubahan masa hadapan yang serba mencabar.

Canselor USM, yang juga Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bertitah rancangan untuk 50 tahun akan datang ini perlu difikirkan bagi memastikan universiti itu kekal relevan dan dapat membuktikan keunggulannya di mata dunia.

“Semua ini harus kita mulakan sekarang agar krisis yang melanda dunia pendidikan dapat kita atasi dan budaya keilmuan yang jitu dapat kita bawa kembali.

“Budaya keilmuan yang jujur sifatnya dan mengatasi kepentingan peribadi adalah penting agar ilmu dapat benar-benar menjadi penyuluh kebenaran,” titah baginda ketika merasmikan Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena sambutan ulang tahun ke-50 USM di sini, hari ini.

Dalam istiadat itu, baginda berkenan menganugerahkan Anugerah Khas Kelestarian Canselor kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut sama menerima anugerah ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan; penerima Hadiah Nobel dalam bidang Fizik (2014), Prof Dr Shuji Nakamura (Ijazah Kehormat Doktor Sains), dan Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam kepada bekas Pendaftar Wanita Pertama USM, Datuk Siti Mazenah Saad.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda melihat banyak perubahan dan kemajuan dicapai sejak Almarhum Ayahanda Baginda dimasyhurkan sebagai Canselor pada 1972.

Titah baginda, pembinaan sebuah universiti pada sekitar tahun 1960-an bukan tugas mudah berikutan keadaan negara ketika itu yang berada dalam keadaan serba kekurangan.

“Ketika mantan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mengumumkan akan penubuhan sebuah universiti di Pulau Pinang, rakyat negara ini dan di sekitar Asia khususnya berada dalam keadaan girang kerana memikirkan akan potensi universiti yang akan dibina ini.

“Ramai cerdik pandai termasuk nama besar seperti Cambridge dan Yale menyatakan sokongan dan dokongan tidak berbelah bahagi. Asasnya kukuh kerana idea penubuhannya telah difikirkan sekian lama sejak tahun 1950-an lagi,” titah baginda.

Berita Harian X