Isnin, 23 September 2019 | 2:58pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika hadir pada Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Kedah perlu perhatian Kerajaan Pusat

ALOR SETAR: Kedah memerlukan perhatian khusus daripada Kerajaan Pusat bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri selepas disenarai sebagai antara negeri termiskin di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata peruntukan besar diperlukan bagi membangunkan projek utama yang mampu mencetuskan lonjakan ekonomi kepada Kedah dalam jangka masa panjang.

“Antara projek itu adalah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang bernilai lebih RM3.6 bilion serta dua lagi projek berimpak tinggi iaitu Kedah Rubber City di Padang Terap dan Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam.

“Bagaimanapun kita memerlukan perhatian kerajaan Pusat untuk menjayakan semua projek ini antaranya penyediaan infrastruktur seperti jalan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Bagi Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini, hari ini.

Sesi itu dipengerusikan Mukhriz bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin.

Mukhriz berkata, perhatian itu sangat penting bagi merapatkan jurang perbezaan antara negeri seperti Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Ahad lalu, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata, Kedah, Kelantan dan Perlis adalah negeri miskin yang perlu diberikan lebih tumpuan.

Perdana Menteri dipetik berkata, secara umumnya Kabinet bersetuju bahawa terdapat jurang antara negeri-negeri.

Sementara itu, Dr Radzi berkata, Kedah adalah negeri terakhir dalam siri jelajah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ke semua negeri bagi penyediaan RMK-12.

Katanya, sesi libat urus itu bertujuan meneroka keunikan dan kekuatan yang boleh dioptimumkan di Kedah dalam menstruktur semula ekonomi supaya dapat bersama-sama menjadi paksi untuk ekonomi Asia menjelang 2030.

“Kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan membabitkan Kedah dan Thailand.

“Dalam masa sama tumpuan akan diberi kepada Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang dijangka terus memberi manfaat kepada pembangunan negeri ini,” katanya.

Berita Harian X