Isnin, 23 September 2019 | 12:24am
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KDN cadang wujudkan bank data DNA

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah drastik bagi membanteras penjualan MyKad kepada warga asing, termasuk mewujudkan bank data asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sijil lahir.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu antara yang dibincangkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim, pada 18 September lalu.

“Kerajaan melalui KDN memandang serius kes penjualan Mykad kepada warga asing yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini dan sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan akan dilakukan serta-merta.

“KDN juga akan memperkemaskan strategi sistem penyampaian JPN, termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada JPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain cadangan mewujudkan bank data DNA, langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah menghentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di JPN negeri dan menetapkan ia hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN untuk semak dan imbang.

Kekerapan naziran secara mengejut turut ditingkatkan di semua bahagian JPN, termasuk vendor yang terbabit, bagi memastikan semua tatacara yang ditetapkan dipatuhi.

Selain itu, aras keselamatan berperingkat ditambah baik supaya tidak lagi boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai, sebaliknya perlu melalui pengesahan daripada pegawai atasan.

Pegawai JPN juga ditukar secara berkala tidak lebih daripada dua tahun, selain menyemak semula semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyah aktifkan supaya tidak disalah guna.

“Saya ingin menegaskan bahawa KDN tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terbabit dalam kes penjualan MyKad dan memberi sepenuh kuasa kepada polis untuk menyiasat dan mendakwa pengkhianat negara.

“Pada masa sama, KDN tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang diviralkan serta memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil ke atas penyebar berita dan maklumat palsu,” katanya.

Berita Harian X