Ahad, 22 September 2019 | 8:51pm

Pameran hartanah MyRumah di Kuantan dapat sambutan

KUANTAN: Pameran hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang berakhir di Kuantan City Mall, di sini hari ini, mendapat sambutan menggalakkan, bukan sahaja daripada penduduk setempat, malah negeri jiran.

Pemaju yang menyertai pameran tiga hari sejak Jumaat lalu juga gembira dengan maklum balas diterima daripada pengunjung yang berminat dengan projek perumahan dan premis komersial dibangunkan mereka.

Pengunjung mengunjungi gerai pameran untuk mendapatkan maklumat di Pameran Hartanah My Rumah 2019. - NSTP/Zulkepli Osman
Pengunjung mengunjungi gerai pameran untuk mendapatkan maklumat di Pameran Hartanah My Rumah 2019. - NSTP/Zulkepli Osman

Harga ditawarkan oleh syarikat yang mengambil bahagian pula sangat kompetitif, manakala sesi khidmat nasihat berkaitan hartanah, termasuk kelayakan mendapatkan pinjaman serta strategi melabur dalam bidang itu, menjadi nilai tambah untuk pengunjung.

Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abdul Abbas, berkata sesi ceramah menampilkan pakar bidang hartanah yang memberi penerangan berkaitan pelaburan, antara yang mendapat sambutan pengunjung.

Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak bawah 12 tahun turut di adakan. - NSTP/Zulkepli Osman
Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak bawah 12 tahun turut di adakan. - NSTP/Zulkepli Osman

“Pameran ini menepati sasaran awal dari segi jualan rumah. Sehubungan itu, kami mengajak lebih ramai pemaju untuk turut serta pada pameran hartanah MyRumah selepas ini.

“Maklumat lanjut mengenai pameran ini ada di Facebook MyRumah, termasuk mengenai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama, iaitu sebuah Nissan Almera, selain tawaran diskaun yang menarik bagi pembelian hartanah,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Tadbir Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Tengku Azzah Jazmina Tengku Ahmad Noor, berkata pihaknya gembira dengan maklum balas pengunjung yang berminat memiliki rumah di Terengganu.

“PMINT menawarkan lima projek perumahan, masing-masing di Kemaman, Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu. Harga ditawarkan daripada RM180,960 hingga RM399,000, termasuk rumah teres dua tingkat dan rumah kedai,” katanya.

Pengunjung mendapatkan maklumat di Pameran Hartanah My Rumah 2019. - NSTP/Zulkepli Osman
Pengunjung mendapatkan maklumat di Pameran Hartanah My Rumah 2019. - NSTP/Zulkepli Osman

Penolong Naib Presiden Uda Land (East) Sdn Bhd, Ellie Syahirah Liyana Mohamed Said pula, berkata hartanah mewah dibangunkan syarikat itu berhampiran pantai Teluk Cempedak di sini, turut menerima maklum balas positif pengunjung.

Pameran yang mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menawarkan 1,437 unit perumahan dan komersial dengan nilai pembangunan kasar lebih RM323.6 juta.

Ia disertai Jabatan Perumahan Negara, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PMINT dan UDA Land (East) Sdn Bhd, Amanah Raya Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful IKHLAS.

Selepas Kuantan, siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan diadakan di Shah Alam dan Ipoh.

Pengunjung mengunjungi gerai pameran untuk mendapatkan maklumat di Pameran Hartanah My Rumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) di Pusat Membeli Belah, Kuantan City Mall (KCM). - NSTP/Zulkepli Osman
Pengunjung mengunjungi gerai pameran untuk mendapatkan maklumat di Pameran Hartanah My Rumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) di Pusat Membeli Belah, Kuantan City Mall (KCM). - NSTP/Zulkepli Osman
Berita Harian X