Sabtu, 21 September 2019 | 1:01pm
PELAJAR Fakulti Kedoktoran, Universiti Sumatera Utara, Nurul Arifah Ahmad Ali meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada tonsil di Medan, Sumatera pagi tadi. - Foto BERNAMA

Pelajar Malaysia meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada tonsil

SEMARANG (Jawa Tengah): Seorang pelajar Malaysia meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada tonsil di Medan, Sumatera pagi tadi.

Nurul Arifah Ahmad Ali, 20, yang juga pelajar Fakulti Kedoktoran, Universiti Sumatera Utara disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi di Rumah Sakit Umum Pusat H. Adam Malik, Medan.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Profesor Madya Dr Mior Harris Mior Harun, berkata Allahyarham dimasukkan ke hospital semalam dan disahkan meninggal akibat jangkitan `Diphtheria Tonsilitis’.

“Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) di Medan sedang menguruskan dokumentasi berkaitan. Keluarga Allahyarham juga sudah berada di Medan dan pihak konsulat sedang menguruskan penghantaran pulang jenazah ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Delegasi Kedutaan Malaysia yang sedang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020, di sini.

Ditanya sama ada kejadian itu berkaitan jerebu teruk di Sumatera, Mior Harris berkata, berdasarkan laporan pihak berkuasa Indonesia, kualiti udara di Medan masih baik.

Menurut media Indonesia, Medan dilaporkan masih bebas daripada jerebu apabila ramai penduduk di Riau, Pekanbaru dan Jambi yang ketika ini sedang dilanda jerebu, berpindah atau bercuti sementara ke bandar itu.

“Ketika ini, hanya kualiti udara di Pekanbaru dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat. Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru sudah diarahkan bercuti sejak 13 September lalu. Keseluruhannya, 214 pelajar Malaysia sedang menuntut di universiti itu,” katanya.

Beliau berkata, Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia pula masih beroperasi seperti biasa. – BERNAMA

Berita Harian X