Jumaat, 20 September 2019 | 3:36pm
SAIFUDDIN (tiga dari kiri) bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad (kiri) beramah mesra dengan pelajar selepas majlis Perasmian Program Food Bank Siswa UNIMAP di Kampus Alam Pauh Putra. NSTP/Amran Hamid

Tindakan tegas peniaga dekat pintu sempadan naikkan harga barang, makanan

ARAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga barangan dan makanan berdekatan pintu sempadan negara jiran yang menaikkan harga sesuka hati.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya bertindak segera jika terdapat aduan khusus yang dilaporkan berhubung hal itu oleh pengguna.

“Tidak timbul isu jika mereka peniaga luar atau tidak, jika berniaga dalam negara kita, secara automatik mereka boleh dikenakan tindakan.

“Bagaimanapun, setakat ini saya belum dapat aduan khusus mengenai harga makanan dan minuman mahal di kawasan berdekatan sempadan Malaysia dan negara jiran.

“Jika ada aduan, semestinya pihak kami akan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang berbuat demikian,” katanya selepas majlis perasmian Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, yang dilakukan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini, hari ini.

UniMAP menjadi universiti awam (UA) ke-16 daripada 21 UA yang melancarkan program Food Bank Siswa dengan seminggu tiga kali makanan akan diberikan percuma kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Saifuddin menggesa pengguna terus melaporkan kepada pihaknya jika ada peniaga tidak bertanggungjawab dan tidak mengamalkan etika perniagaan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mencatat tiga aduan popular dan tertinggi dalam kalangan pengguna iaitu membabitkan harga barangan mahal, penipuan secara dalam talian dan iklan tanda harga mengelirukan.

Berita Harian X