Jumaat, 20 September 2019 | 9:22am
NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah

Masih awal mahu tubuh kerajaan campuran - Mohd Amar

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan masih terlalu awal untuk menubuhkan kerajaan campuran antara parti itu dan UMNO.

Beliau menjelaskan perancangan parti itu untuk membawa UMNO menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya untuk tempoh jangka panjang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Malah, katanya, Piagam Muafakat Nasional dimeterai UMNO dan PAS, Sabtu lalu, hanya lebih kepada `taawun’ iaitu memperkukuhkan kerjasama yang masih longgar demi kebaikan ummah, bukannnya `tahaluf’ yang bermaksud kerjasama politik.

“Saya melihat apa yang dihasratkan (perancangan bawa masuk UMNO dalam pentadbiran Kelantan dan Terengganu) lebih kepada rancangan jangka masa panjang untuk menghadapi PRU akan datang...bukan untuk sehari dua ini. Kita belum sampai ke situ lagi.

“Kalau betul mahu kerjasama macam masuk Barisan Nasional (BN), ia perlu dibincangkan di peringkat PAS Pusat terlebih dahulu sebelum mendapatkan mandat daripada muktamar pula selepas itu. Kita mempunyai langkah tertentu.

“Muafakat Nasional adalah memorandum persefahaman (MoU) sebagai tanda kerjasama secara rasmi memandangkan sebelum ini kita jalinkan kerjasama tidak rasmi menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK). Ini lebih kepada garis panduan macam mana hubungan PAS - UMNO,” katanya ketika ditemui, di sini malam tadi.

Katanya, Jawatankuasa Khas yditubuhkan kedua-dua parti akan saling berbincang dan memberi cadangan kepada pucuk pimpinan masing-masing.

“Sebenarnya, mesyuarat jawatankuasa muafakat ini hanya dilakukan di peringkat pusat antara kedua-dua parti, manakala peringkat negeri pula lebih kepada pelaksana kerana kita tiada kuasa untuk menentu.

“Jadi, apa yang diputuskan di peringkat pusat selepas kedua-dua jawatankuasa ini bersidang, mereka akan kemukakan cadangan. PAS dan UMNO kemudiaannya akan melihat cadangan itu dan jika setuju barulah diturunkan kepada negeri,” katanya.

Katanya, ini bermakna, UMNO di Kelantan masih lagi berada dalam blok pembangkang jika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan nanti, cuma mereka akan menjadi mesra kerajaan negeri.

Piagam Muafakat Nasional dimeterai UMNO - PAS, antara lain, bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ditanya mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengakui Kelantan masih ketinggalan daripada pembangunan fizikal.

“Kita akui Kelantan memang ketinggalan dari segi pembangunan fizikal sebab itu kita setiap kali Rancangan Malaysia, kita akan minta projek membina jalan raya, pelabuhan, serta jambatan sejak dulu, cuma tiada sebarang kelulusan sehinggalah hari ini,” katanya.

Berita Harian X