Khamis, 19 September 2019 | 6:56pm
MENTERI Besar, Amirudin Shari merasmikan Akademi Kepemimpinan Wanita Selangor di Shah Alam, hari ini. - Foto Sarien Nafis

Kerajaan Selangor usir warga asing ceroboh tanah - MB

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dalam proses mengusir keluar warga asing yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh dan Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri mengambil serius isu pencerobohan tanah terbabit dan tindakan segera sedang diambil berhubung isu berkenaan.

“Dalam isu warga asing ceroboh tanah kerajaan negeri di PKKN, kita dalam proses usir keluar mereka. Kita tidak akan berkompromi.

“Dalam isu pencerobohan tanah kerajaan negeri di Bukit Beruntung pula, Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor sedang melakukan tindakan sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Akademi Kepemimpinan Wanita Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH mendedahkan selepas tiga tahun pencerobohan pendatang asing di PKKN didedahkan akhbar ini, keadaan terkini tidak menyaksikan banyak perubahan apabila masih ada kegiatan perusahaan penanaman rumput dan nurseri.

Pekerja warga asing pula dipercayai menyusup ke negara ini tanpa permit sah dengan majoritinya dari Indonesia dan sebahagian kecil rakyat Bangladesh.

Wartawan BH yang meninjau kediaman bekas pesakit kusta juga mendapati ia masih berpenghuni, dipercayai dijadikan tempat berlindung warga asing berkenaan.

Selain itu, pencerobohan tanah milik kerajaan negeri turut berlaku Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

BH dalam laporan eksklusifnya mendedahkan operasi kawasan pertanian komersial membabitkan penanaman sayur-sayuran dengan anggaran keluasan 60 hektar yang diusahakan kira-kira 80 warga asing secara haram.

Tinjauan mendapati tanah berbukit dan lembah di situ, diteroka pendatang asing dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran dan mereka dipercayai mengambil kesempatan meneroka tanah di situ berikutan kawasan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya, kerana sebahagian tanah terletak di bawah laluan pencawang kabel elektrik berkuasa tinggi.

Meskipun papan dengan notis pengosongan kawasan dipacak atas tanah diceroboh, kerja pembangunan tanah untuk kebun sayur masih dijalankan tanpa ada tanda mereka akan berhenti daripada melakukan aktiviti itu atau keluar dari situ.

Berita Harian X