Khamis, 19 September 2019 | 6:49pm
PENGERUSI Panel Penasihat CEPR, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) bertukar dokumen bersama Naib Canselor UNISZA, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniSZA dan Pusat Penyelidikan Dasar Ekonomi Malaysia (CEPR) di Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Gabung universiti, Naib Canselor UniSZA, UMT mengadap Sultan Terengganu

PUTRAJAYA: Pengurusan tertinggi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggabungan dua universiti terbabit.

Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata beliau bersama Naib Canselor UMT, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar sudah mengemukakan beberapa fakta secara menyeluruh berkaitan universiti masing-masing.

“Pertemuan singkat itu berjalan lancar dan kami sudah memberikan fakta secara menyeluruh sama ada di peringkat universiti mahupun kementerian,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniSZA dan Pusat Penyelidikan Dasar Ekonomi Malaysia (CEPR) di sini, hari ini.

UniSZA menandatangani memorandum persefahaman dengan CEPR bagi membangunkan produk berasaskan pati minyak gelam yang dikatakan boleh menyembuhkan luka, jerawat, mencantikkan kulit, melegakan sakit urat serta migrain.

Hadir sama, Pengerusi Panel Penasihat CEPR, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hassan berkata, pihak UniSZA sangat neutral dalam isu penggabungan berkenaan dan akan menerima segala kemungkinan asalkan ia memberi impak positif kepada kedua-dua universiti.

“Kita boleh bergabung jika penggabungan itu memberi lonjakan kepada kedua-dua universiti termasuk dari segi graduan, pencapaian dan nisbah pekerja serta graduan.

“Sekiranya penggabungan itu akan menurunkan prestasi kedua-dua universiti, lebih baik tidak perlu bergabung.

“Apa pun, kita akan lihat dulu dari pelbagai sudut dan akan menilai hal ini secara bebas. Apa juga keputusan akan berdasarkan kajian dilakukan ini, bukannya akan terus bergabung tanpa melihat keperluannya.

“Difahamkan kajian menyeluruh penggabungan ini akan dilakukan dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Hassan berkata, penggabungan dua universiti itu tidak boleh disamakan dengan penggabungan bank kerana salah satunya akan lenyap.

“Penggabungan universiti pula, kedua-duanya akan kekal kerana kita masih mempunyai pelajar di universiti terbabit,” katanya.

Kabinet pada 4 September lalu dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah penggabungan itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Berita Harian X