Khamis, 19 September 2019 | 1:53pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

NFCP manfaat 4.14 juta premis, wujud 20,000 pekerjaan

PUTRAJAYA: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan memberi manfaat kepada sehingga 4.14 juta premis di seluruh negara dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan.

Kerajaan semalam melancarkan NFCP dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM21.6 bilion bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.

NFCP bakal berpandukan kepada dua tunjang utama iaitu pelaksanaan projek

infrastruktur dan penetapan dasar berkaitan bagi mempermudahkan pelaksanaan infrastruktur di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata inisiatif diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu bakal memperuntukkan komitmen antara RM10 bilion hingga RM11 bilion daripada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (UPS).

“Manakala, selebihnya dilaburkan pemberi perkhidmatan bagi membina rangkaian gentian optik, pemancar komunikasi mudah alih dan lain-lain.

“Menerusi NFCP kerajaan menyasarkan kira-kira 4.14 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar kelajuan yang lebih tinggi (HSBB) melalui rangkaian gentian optik,” katanya pada majlis pelancaran NFCP di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, NFCP dijangka mewujudkan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan termasuk rakyat di luar bandar meliputi aktiviti pembinaan, operasi serta penyelenggaraan infrastruktur digital.

Katanya, pembinaan infrastruktur digital di bawah NFCP akan menjana manfaat ekonomi manfaat kepada syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor kecil dan pembekal peralatan.

“Projek NFCP ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan B40 dan M40, di mana pelbagai kepakaran dan kemahiran diperlukan untuk membina infrastruktur digital ini,” katanya.

INFO

Tujuh sasaran NFCP:

*Pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar satu peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2020.

*Akses internet kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 sebelum dikembangkan ke semua ibu negeri pada 2023.

*Akses capaian minima 500Mbps bagi semua premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih menjelang 2021.

*20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar memiliki akses sehingga 500Mbps pada 2022.

*Rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos pada 2022.

*Kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023.

*Perluasan rangkaian internet di Sabah dan Sarawak dengan penambahbaikan liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo apabila selesai dibina kelak.

Berita Harian X