Rabu, 18 September 2019 | 9:33pm
Tiada kajian saintifik membuktikan pengambilan air kelapa atau limau nipis dapat membantu mengimbangi oksigen dalam sistem pernafasan manusia. - Foto hiasan
Tiada kajian saintifik membuktikan pengambilan air kelapa atau limau nipis dapat membantu mengimbangi oksigen dalam sistem pernafasan manusia. - Foto hiasan

Air kelapa, limau nipis tidak bantu legakan sistem pernafasan - pakar

KUALA LUMPUR: Tiada kajian saintifik membuktikan pengambilan air kelapa atau limau nipis dapat membantu mengimbangi oksigen dalam sistem pernafasan manusia, khususnya ketika berdepan keadaan jerebu ketika ini.

Pakar respiratori dan paru-paru, Dr A Sundari, berkata orang ramai khususnya warga emas, kanak-kanak serta pesakit berkaitan pernafasan sebaliknya perlu menggunakan topeng pernafasan sekiranya berada di kawasan terbuka.

Katanya, penggunaan topeng muka adalah penting bagi mengelak sistem pernafasan manusia dicemari bahan zarahan 2.5 (PM2.5) yang biasanya ditemui dalam udara tercemar, khususnya ketika jerebu.

“Ini kerana, PM2.5 sangat berbahaya dan boleh menyebabkan keradangan di bahagian paru-paru dengan ia sangat mudah masuk ke dalam sistem pernafasan manusia.

“Malahan, kita juga terdedah dengan jangkitan batuk, alahan kulit serta sakit tekak dan mata jika terdedah dengan keadaan jerebu. Pesakit berkaitan pernafasan, khususnya pula semput dan penyakit penghalang pulmonari kronis (COPD) berdepan risiko sesak nafas.

“Selain itu, orang ramai khususnya pesakit berkaitan pernafasan berkemungkinan menghidap kanser paru-paru, jika mereka terlalu lama terdedah dengan keadaan jerebu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan pergerakan asap jerebu merentasi sempadan dan tempatan berkemungkinan menyebabkan keadaan cuaca jerebu sederhana hingga tebal di beberapa kawasan di Malaysia sehingga esok.

Situasi itu dikatakan akan mempengaruhi jarak penglihatan di seluruh Sarawak, pantai barat Semenanjung dan timur Sabah, iaitu di Tawau dan Sandakan.

Selain itu, sebanyak 1,484 sekolah membabitkan lebih 1 juta murid di tujuh negeri ditutup sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Dr Sundari berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di kawasan terbuka, termasuk bersenam di tempat lapang bagi mengelakkan dijangkiti penyakit bawaan jerebu.

“Bersenam di kawasan terbuka khususnya apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap melebihi 100 adalah sangat tidak digalakkan. Manusia terdedah dengan risiko lebih besar jika terdedah dengan IPU yang tinggi.

“Malah, kita akan bernafas lebih banyak ketika bersenam dan ini akan menyebabkan mana-mana individu menghidup udara tercemar dalam jumlah besar, sekiranya mereka melakukan aktiviti berkenaan di kawasan lapang,” katanya.

Berita Harian X