Rabu, 18 September 2019 | 8:06am
Keadaan cuaca di sekitar Pelabuhan Klang kelihatan kabur ekoran jerebu. - Foto BERNAMA

Jerebu: 214 sekolah di Selangor ditutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 214 sekolah di Selangor membabitkan 231,921 pelajar ditutup hari ini kerana keadaan jerebu.

Kementerian Pendidikan menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah berkenaan menyaksikan pertambahan sebanyak 99 sekolah di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama.

Keputusan menutup 99 lagi sekolah itu dibuat selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Shah Alam merekodkan bacaan melebihi 200 bermula jam 12 tengah malam tadi.

Kementerian Pendidikan juga memaklumkan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman, Pelabuhan Klang ditutup hari ini berikutan masalah jerebu melanda dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang merekodkan bacaan 260 iaitu tahap sangat tidak sihat pada jam 9 pagi. - Foto Faiz Anuar

Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman, Pelabuhan Klang ditutup hari ini berikutan masalah jerebu melanda dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang merekodkan bacaan 260 iaitu tahap sangat tidak sihat pada jam 9 pagi. - Foto Faiz Anuar

Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.

Semalam, BH melaporkan sebanyak 115 sekolah membabitkan 113,699 pelajar di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam, akan ditutup hari ini kerana keadaan jerebu.

Kementerian Pendidikan memaklumkan penutupan sekolah berkenaan dibuat berikutan bacaan IPU di Stesen Johan Setia, Nilai dan Seri Manjung merekodkan bacaan melebihi 200.

Semalam, sebanyak 648 sekolah di seluruh negara ditutup berikutan keadaan jerebu yang membabitkan keseluruhan 445,249 pelajar, selain 12 sekolah swasta ditutup membabitkan 7,432 pelajar.


Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat ini di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html

Berita Harian X