Selasa, 17 September 2019 | 6:49pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sambutan Hari Kemerdekaan Sabah melalui Penubuhan Malaysia di Kampung Rampayan Laut Kota Belud. Turut kelihatan Presiden Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO), Tan Sri Pandikar Amin Muli (tengah). NSTP/Malai Rosmah Tuah.

USBO sokong Anwar jadi PM

KOTA BELUD: Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas ini.

Perkara itu dinyatakan Presiden USBO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penasihat USBO, Datuk Seri Salleh Said Keruak, pada sambutan Hari Kemerdekaan Sabah melalui Penubuhan Malaysia anjuran pertubuhan itu di sini, semalam.

Anwar pada sidang akhbar selepas majlis itu, berkata beliau menyambut positif sokongan USBO dipimpin Pandikar Amin.

“Saya terkesan kerana mereka (USBO) memberi sokongan dan saya menyambutnya (sokongan) secara positif kerana orang sokong saya.

“Pada hari ini juga, soal parti tidak dibincangkan kerana program hari ini berkaitan badan kebudayaan dan suku kaum saja,” katanya sambil menegaskan soal mereka menyertai parti tidak dibincangkan.

Ia sekali gus menyangkal spekulasi sebelum ini yang mengatakan Salleh dan Pandikar dijangka menyertai PKR selepas sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Menerusi laporan sebuah portal pada 6 September lalu, difahamkan Salleh dan Pandikar adalah antara pemimpin masyarakat Bajau yang dijangka menyerahkan borang permohonan menyertai PKR kepada Anwar selepas sambutan Hari Malaysia.

Terdahulu ketika berucap, Anwar berkata, apa yang penting sekarang adalah untuk membawa landskap politik baharu yang memikirkan rakyat dan menunjukkan teladan baik.

“Saya yakin (bukan takbur) rakyat akan bersama kita jika kita menunjukkan teladan yang baik. Soal menjadi Perdana Menteri, perkara ini sudah dibincangkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekarang gilirannya mentadbir, saya tidak ganggu.

“Insya-Allah apabila tiba giliran saya jadi Perdana Menteri, saya akan laksanakan sebaiknya,” katanya.

Anwar berkata, reformasi ini adalah perubahan yang akan membawa kebaikan pada masa depan.

“Sebab itu, apabila Pandikar menyebut dan mahu kita selamatkan negara ini, apa yang harus saya lakukan, saya sambut, orang mahu berkhidmat untuk sama-sama selamatkan negara terutama kerana ada unsur yang kita dengar di Sabah dan Sarawak yang mula bercakap untuk pecah-belahkan perpaduan rakyat.

“Ia atas alasan kononnya Semenanjung datang menjajah dan merompak. Saya beritahu yang merompak itu orang Semenanjung pun ada, Sarawak pun ada dan orang Sabah pun ramai. Jangan guna alasan itu, baik kita betulkan, ada kelemahan yang lalu, tetapi tak boleh berterusan,” katanya sambil menambah akan bersama USBO.

Sementara itu, Pandikar menyifatkan Anwar sebagai pemimpin paling layak menerajui kepemimpinan negara selepas ini.

“Politik adalah dinamik dan keputusan kita pada hari ini kena ambil kira persekitaran politik masa kini,” katanya.

Salleh turut berterima kasih kepada Anwar kerana hadir majlis USBO dan pertubuhan itu juga menyokong beliau dilantik Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.

“Beliau sudah berada di landasan yang betul dan kita perlu cari pemimpin yang boleh selamatkan Malaysia kerana ada usaha politik ekstrem dan ini amat bahaya,” katanya.

Berita Harian X