Selasa, 17 September 2019 | 6:46pm
KETUA Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim (lima dari kiri) ketika ditemui pada lawatan kerjanya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Imran Makhzan

Tukar bahagian dari semasa ke semasa elak salah laku

KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia melihat semula panduan membabitkan pertukaran pegawai dan kakitangan yang ditempatkan di agensi sensitif bawah kementerian itu.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim, berkata antara tindakan akan diambil ialah menukar pegawai dan kakitangan ke bahagian lain dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perlakuan menyalahi peraturan serta undang-undang.

“Kita akan mengambil tindakan dan mempergiatkannya lagi. Saya sudah meminta jabatan untuk melihat, pegawai yang lebih tiga tahun atau kurang di tempat sensitif akan ditukarkan. Malah, tindakan boleh diambil dua tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada lawatan kerjanya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, dan Pengarah JPN negeri, Mohd Nasir Kareem.

Media sebelum ini melaporkan beberapa individu, termasuk pegawai kerajaan, ditahan susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Khamis lalu, enam lelaki termasuk Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, didakwa dengan 32 pertuduhan di Mahkamah Sesyen berhubung sindiket penjualan sijil kelahiran dan MyKad kepada warga asing.

Namun, Alwi berkata, tindakan diambil bukan hanya ditujukan kepada JPN tetapi juga agensi lain bawah KDN yang terbabit dengan urusan orang ramai supaya masalah sama tidak berlaku pada masa depan.

Beliau berkata, kementerian memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pegawai serta kakitangan yang terbabit salah laku, tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau melanggar undang-undang.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti polis untuk mengambil tindakan. Pada peringkat jabatan, saya juga mengarahkan ketua pengarah melihat SOP dari segi proses kerja supaya ditambah baik bagi mengelakkan masalah sama daripada berlaku,” katanya.

Berita Harian X