Selasa, 17 September 2019 | 6:37pm
KETUA Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berucap pada Forum Antirasuah dan Integriti 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Usaha Malaysia banteras rasuah diiktiraf dunia

KUALA LUMPUR: Keyakinan rakyat terhadap keseriusan kerajaan menangani isu berkaitan rasuah, integriti dan pentadbiran meningkat kepada 70.8 peratus tahun lalu, berbanding 59.8 peratus tahun sebelumnya.

Angka itu berdasarkan kajian oleh Suruhanjaya Antirasuah Malaysia mengenai persepsi antirasuah yang dijalankan pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata komitmen kerajaan yang meletakkan agenda antirasuah sebagai keutamaan turut membuahkan hasil apabila beberapa indeks dan kajian peringkat antarabangsa menunjukkan peningkatan prestasi negara.

“Edelsmann Trust Barometer Global menunjukkan tahap keyakinan orang ramai terhadap kerajaan meningkat kepada 60 peratus pada 2019, berbanding hanya 46 peratus tahun sebelumnya.

“Laporan Corporate Governance Watch menunjukkan Malaysia meningkat tiga anak tangga dari tempat ketujuh pada 2016 ke tangga keempat pada 2018 dalam kalangan 12 negara Asia Pasifik,” katanya dalam ucaptama Forum Antirasuah dan Integriti 2019 di sini, hari ini.

Katanya, Indeks Demokrasi 2019 oleh Unit Risikan Ekonomi (EIU) menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke 52 daripada 165 negara, mendahului Singapura yang kini berada di tempat ke-66.

Indeks World Press Freedom 2019 meletakkan Malaysia kini mendahului negara lain di rantau Asia Tenggara dalam usaha menangani rasuah dengan berada di kedudukan 123 daripada 180 negara lain di dunia.

Malaysia berada di tempat ke-155 pada tahun sebelumnya.

Di peringkat korporat yang turut menghadapi masalah rasuah, Abu Kassim berkata, usaha membina budaya bencikan makan suap seharusnya bermula di peringkat tertinggi yang perlu seiring dengan etika dan integriti.

“Nada etika pihak pentadbiran dan pengurusan tertinggi memberi pengaruh besar terhadap budaya integriti dalam sesebuah organisasi.

“Ini akan menyokong tadbir urus baik ke arah mewujudkan organisasi syarikat yang berdaya saing dan mapan, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tadbir urus yang lemah bukan sahaja menyebabkan pertumbuhan perlahan tetapi turut menjejaskan penyampaian produk dan perkhidmatan yang cekap selain kualiti hidup rakyat yang rendah.

Berita Harian X