Selasa, 17 September 2019 | 1:39pm
Prof Madya Dr Rusdi Omar (kiri) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid. - Foto NSTP

Buktikan kerjasama UMNO-PAS dengan kerajaan campuran di empat negeri

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS disaran mewujudkan kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan di empat negeri dikuasai mereka bagi membuktikan kemampuan merealisasikan kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kejayaan melaksanakan langkah itu di Perlis dan Pahang yang dikuasai Barisan Nasional (BN) serta Kelantan dan Terengganu ditadbir PAS akan memberi petunjuk jelas kemampuan kedua-dua parti bekerjasama dan bukannya sekadar politik retorik.

Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata walaupun pada peringkat kepemimpinan tertinggi, kerjasama itu dilihat sangat kemas, rakyat khususnya ahli dan penyokong kedua-dua parti tidak melihat secara jelas kemampuan serta hala tuju dalam kerjasama itu.

Beliau berkata, lantikan EXCO atau Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) antara langkah boleh dilaksanakan pada peringkat kerajaan negeri.

“Rakyat hendak lihat sejauh mana kerjasama UMNO dan PAS boleh direalisasikan dalam situasi menang-menang, bukan sekadar memperlihatkan kerjasama di atas kertas.

“Buktikan dulu di Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu, jadikan empat negeri ini projek perintis kerjasama mereka.

“Isunya sama ada mereka bersedia melaksanakannya atau tidak dan sanggup atau tidak mereka melepaskan kerusi kepada bekas seteru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penganalisis politik itu turut menyifatkan mana-mana pihak boleh membuat dan menghasilkan piagam seperti Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani dan dimeterai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Sabtu lalu.

Ini kerana, beliau berkata, isu lebih penting ialah kaedah pembahagian kerusi yang bakal dimuktamadkan pada PRU-15.

“Sebagai contoh, takkan UMNO yang rasa boleh menang mudah mahu melepaskan kerusi tradisi bagi memberi laluan kepada PAS,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, berkata kedua-dua parti perlu membuktikan penyatuan ummah itu boleh diterjemahkan dalam bentuk kerajaan campuran dengan melaksanakannya di empat negeri dikuasai mereka.

Beliau berkata, selagi tiada satu amalan, formula, struktur jelas dalam kerjasama, selagi itu ia hanya bersandar kepada politik retorik.

“Jika benar mereka serius bersatu, UMNO dan PAS patut bermula dengan kerajaan campuran, buktikan di negeri dikuasai mereka dulu.

“Persoalannya, sanggupkah kedua-dua parti itu menyerahkan kuasa kepada sekutu mereka. Kerjasama disebut-sebut itu masih jauh dan selama mana kedua-dua parti mampu mengekalkan momentum ini,” katanya.

Di Terengganu, PAS menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN menerusi UMNO memenangi 10 kerusi dimenangi pada PRU-14, manakala di Kelantan, PAS memiliki 37 kerusi dan UMNO (lapan).

Sementara itu, BN menguasai 25 kerusi DUN dengan UMNO menyandang 24 kerusi dan MCA (1), manakala PAS memiliki lapan kerusi.

Di Perlis, UMNO menguasai 13 daripada 15 kerusi DUN dengan bakinya disandang wakil rakyat PAS.

Berita Harian X