Selasa, 17 September 2019 | 12:48pm
KOTA KINABALU 30 APRIL 2019. Pengerusi Institut Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Edmund Samunting
KOTA KINABALU 30 APRIL 2019. Pengerusi Institut Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Edmund Samunting

NIOSH 'rumah kedua' saya selama 27 tahun - Lam Thye

KOTA KINABALU: Menjadikan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sebagai 'rumah kedua' selama 27 tahun menyebabkan Tan Sri Lee Lam Thye yakin NIOSH terus kukuh di masa hadapan walaupun selepas beliau menamatkan kontrak sebagai pengerusi pada Jumaat ini.

Lam Thye berkata, sumbangannya selama ini kepada NIOSH termasuk selepas dilantik sebagai pengerusi institut itu banyak membantu mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di seluruh negara.

“Saya habiskan 27 tahun bersama NIOSH iaitu selepas dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pada 1992 apabila NIOSH ditubuhkan secara rasmi dan dua tahun kemudian saya dilantik sebagai pengerusi oleh Menteri Sumber Manusia.

“Dalam tempoh itu, saya sudah berikan jiwa dan raga kepada NIOSH, di mana saya sentiasa memakai topi NIOSH dan saya boleh nyatakan bahawa NIOSH bagai rumah kedua saya selama 27 tahun ini,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat NIOSH di sini, hari ini.

Katanya lagi, dia sudah melakukan jelajah ke seluruh negara termasuk pedalaman Sabah dan Sarawak mempromosikan OSH bagi membantu NIOSH dalam memasarkan program dan kegiatan yang dirancang.

“Dalam tempoh ini, saya rasa bangga kerana dapat memberikan khidmat terbaik dan saya sudah melaksanakan tanggungjawab dengan sedaya upaya.

“Berdasarkan maklum balas daripada masyarakat, usaha saya ini berbaloi kerana hari ini saya boleh nampak begitu banyak syarikat industri di negara ini sudah mula mempunyai kesedaran mengenai OSH.

“Jadi, apabila saya meninggalkan NIOSH, saya boleh nyatakan bahawa NIOSH hari ini dalam keadaan kukuh dan berharap ia akan terus maju dengan mengambil inisiatif mempertingkatkan usaha dalam semua bidang terutama aspek kualiti latihan,” katanya.

Lam Thye berkata negara ini mempunyai banyak institut dan pusat latihan atau syarikat latihan keselamatan dan sekiranya diberi tumpuan, sudah tentu ia akan menjadi tarikan kepada pekerja atau syarikat untuk tampil menyertai program latihan yang dianjurkan NIOSH.

“Jadi, saya nak tegaskan bahawa selepas 27 tahun NIOSH wujud, NIOSH hari ini akan terus memainkan peranan dengan lebih gigih ke arah mempertingkatkan program latihan perundingan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyebaran maklumat,” katanya.

Berita Harian X