Selasa, 17 September 2019 | 11:00am
ZAKARIA Kamantasha memberi taklimat kepada peserta di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ladang padi organik jadi pusat pengajian pertanian

SIK: Usaha seorang pesawah yang mengerjakan tanaman padi organik di Belantik, di sini sejak 10 tahun lalu mendapat pengiktirafan pelbagai pihak sehingga ladangnya bakal dijadikan sebagai institusi pengajian pertanian organik.

Zakaria Kamantasha, 53, berkata pelan itu berteraskan kerjasama terbaharu membabitkan kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, pusat pengajian berkenaan yang akan dinamakan sebagai Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu (INSPEK) dijangka bakal dibangunkan dalam masa terdekat.

“Sebagai permulaan, pengambilan pelajar adalah seramai 20 orang terdiri daripada remaja lepasan sekolah dari Sik yang berminat dalam bidang pertanian.

“Mereka akan diajar teknik dan cara bertani secara organik bermula daripada proses menanam hinggalah menuai.

“Tenaga pengajar akan membimbing pelajar menghasilkan baja dan racun menggunakan bahan semulajadi seperti kangkung, telur, nanas, pisang dan susu,” katanya ketika ditemui di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, di sini.


ZAKARIA Kamantasha memberi taklimat kepada peserta di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. - Foto Sharul Hafiz Zam

Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah penanaman padi organik berbeza kerana ia membabitkan beberapa prinsip unik seperti penyuburan tanah, pembenihan, penanaman, pembajaan dan pengairan tanpa membunuh serangga dan organisma baik dalam tanah.

“Prinsip yang dipraktikkan membuahkan hasil malah beras organik lebih berkualiti, menjimatkan sumber dan kos serta tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Selain itu, ladang ini turut mendapat perhatian para pengkaji, pelajar dan pengunjung dari seluruh dunia antaranya Belgium, Perancis, United Kingdom, Itali, Arab Saudi, Jepun, Australia dan Singapura.

“Kebanyakannya sanggup menjadi sukarelawan dan bekerja sebagai petani untuk mempelajari teknik tanaman yang bakal dipraktikkan di negara mereka nanti,” katanya.

Salah seorang sukarelawan dari Jepun, Chikako Matsumi, 29, berkata dia sudah tinggal di ladang berkenaan sejak dua bulan lalu dan mempelajari teknik menanam padi organik.

“Kemahiran mencedung serta melandak sudah dikuasai dan saya harap dapat mempelajari cara menuai padi pula selepas ini,” katanya.


ANTARA peserta yang menyertai program di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X