Isnin, 16 September 2019 | 7:33pm
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching, Sarawak masih mencatatkan bacaan tertinggi dan berada pada paras sangat tidak sihat akibat jerebu, iaitu 229 setakat jam 6 petang tadi. - Foto BERNAMA

Jerebu: IPU di Kuching masih tertinggi

KUALA LUMPUR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching, Sarawak masih mencatatkan bacaan tertinggi dan berada pada paras sangat tidak sihat akibat jerebu, iaitu 229 setakat jam 6 petang tadi.

Keadaan IPU sama turut direkodkan berlaku di Johan Setia Klang (MCAQM) dengan bacaan 226, Sri Aman (208), dan Putrajaya (204).

Pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya menyaksikan perubahan IPU kepada bacaan sangat tidak sihat, 202 pada jam 8 pagi ini berbanding paras tidak sihat, 199, sejam sebelumnya.


Keadaan jerebu di Jalan Tuanku Abdul Rahman di bandaraya Kuching dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat. - Foto BERNAMA

IPU sangat tidak sihat di Putrajaya kemudian kekal bagi tempoh lima jam berikutnya, mulai jam 8 pagi, sebelum menyusut kepada paras tidak sihat dengan bacaan terendah dicatatkan pada jam 3 petang, iaitu 193.

Bagaimanapun, IPU Putrajaya kembali berada pada paras sangat tidak sihat dan terus meningkat kepada 204, setakat jam 6 petang ini.

Semakan di Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) turut menyaksikan 20 lokasi di Semenanjung merekodkan bacaan IPU tidak sihat, selain sembilan lagi kawasan, merangkumi Sabah dan Sarawak.


Keadaan jerebu di Putrajaya berada pada tahap bacaan IPU 202 iaitu sangat tidak sihat. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) melaporkan 37 tompok panas direkodkan di seluruh Kalimantan, Indonesia, manakala 13 tompok panas di Sulawesi.

Berita Harian X