Isnin, 16 September 2019 | 12:05pm
Keadaan jerebu di Putrajaya pada jam 10 pagi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya antara lima kawasan catat IPU sangat tidak sihat

Kuala Lumpur: Putrajaya menjadi kawasan terbaharu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat pagi ini, dengan empat lagi kawasan turut mencatatkan IPU yang melebihi 201.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 9 pagi ini, Putrajaya mencatatkan bacaan 203 berbanding 199 pada jam 7 pagi tadi.

Empat lagi kawasan yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat ialah Johan Setia Klang (208) di Selangor dan tiga kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman (217), Samarahan (223) serta Kuching (248).

Jumlah stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara dengan IPU melebihi 101 pula sebanyak 29 kawasan.

Di Lembah Klang kawasan yang terjejas ialah Batu Muda (106), Cheras (156), Petaling Jaya (146), Shah Alam (155), Klang (138) dan Banting (161).

Tiga kawasan di Negeri Sembilan turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Nilai (170), Seremban (137) dan Port Dickson (135).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Alor Gajah (123), Bukit Rambai (127) dan Bandaraya Melaka (138) di Melaka selain Temerloh (162), Indera Mahkota Kuantan (176) dan Balok Baru Kuantan (145) di Pahang.

Kawasan lain yang turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Segamat (124) dan Tangkak (153) di Johor, Kemaman (147) dan Paka (117) di Terengganu serta Tawau (134) dan Sandakan (108) di Sabah.


Keadaan jerebu di Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

Kelihatan jerebu melanda Bangunan Kewangan Labuan dan Terminal Feri Labuan Antarabangsa dilihat dari kampung Patau-patau Dua. - Foto BERNAMA

Lapan kawasan di Sarawak yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah ILP Miri (128), Miri (128), Samalaju (130), Bintulu (154), Mukah (129), Sibu (142), Sarikei (162) dan Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (103).

Sebanyak 24 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Roslan Hussin, berkata sesi persekolahan bagi 25 sekolah membabitkan 11 sekolah menengah dan 14 sekolah rendah di Putrajaya akan ditangguhkan jika 1PU mencecah bacaan melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat.

Katanya, langkah itu akan dibuat jika keadaan perkembangan jerebu di seluruh pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di sini bertambah buruk pada waktu persekolahan.

“Sesi persekolahan akan ditangguhkan jika bacaan IPU lebih 200. Kami akan sentiasa memantau perkembangan itu.

“Pengumuman akan dikeluarkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan rujukan asas kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html

Berita Harian X