Ahad, 15 September 2019 | 3:12pm
Pemandangan laut Sulu yang berjerebu di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom
Pemandangan laut Sulu yang berjerebu di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

70 peratus nelayan terjejas akibat jerebu

SANDAKAN: Masalah jerebu menyebabkan 70 peratus nelayan di daerah ini tidak dapat turun ke laut sejak semalam, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan, Shaiful Bahari Muin, berkata terdapat 1,000 nelayan berdaftar di bawah persatuan itu membabitkan nelayan bagi kawasan Sandakan dan Kinabatangan, dengan keseluruhannya merangkumi 1,400 bot dan 368 kapal.

Keadaaan berjerebu di laut Sulu menjejaskan aktiviti nelayan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom
Keadaaan berjerebu di laut Sulu menjejaskan aktiviti nelayan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Katanya, nelayan pesisir pantai yang menggunakan bot kecil terpaksa menghentikan operasi mereka kerana jarak penglihatan terhad, manakala bagi yang menggunakan kapal, mereka masih meneruskan aktiviti seperti biasa berpandukan kepada peralatan kompas.

“Biasanya, nelayan pesisir pantai tidak menggunakan kompas dan cuma berpandukan pengalaman atau tanda seperti pulau ketika berada di laut.

Pemandangan laut Sulu yang berjerebu menjejaskan aktiviti kapal nelayan Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom
Pemandangan laut Sulu yang berjerebu menjejaskan aktiviti kapal nelayan Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

“Ramai nelayan mula membeli kompas dan kita memang mengesyorkan agar peralatan itu digunakan bagi mengelak perkara buruk berlaku akibat jarak penglihatan terhad disebabkan jerebu,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Shaiful Bahari turut menasihatkan nelayan agar tidak turun ke laut sekiranya keadaan jerebu semakin serius bagi mengelak sebarang risiko,, termasuk masalah kesihatan.

Jerebu menjejaskan aktiviti nelayan di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom
Jerebu menjejaskan aktiviti nelayan di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Sementara itu, berdasarkan bacaan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kualiti udara di daerah ini berada pada tahap tidak sihat bermula jam 5 petang semalam apabila mencatatkan bacaan 101.

Bacaan IPU bagi daerah ini setakat jam 12 tengah hari tadi berada pada tahap 103.

Selain Sandakan, Tawau turut terjejas susulan jerebu dengan bacaan IPU mencatatkan tahap 108 setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kualiti udara di kawasan lain di Sabah adalah pada tahap sederhana dengan bacaan IPU di Kota Kinabalu adalah 76, Keningau (83), Kimanis (85) dan Labuan (92).

Aktiviti nelayan terjejas akibat jerebu di Sandakan. - Foto BERNAMA
Aktiviti nelayan terjejas akibat jerebu di Sandakan. - Foto BERNAMA

Berita Harian X