Ahad, 15 September 2019 | 1:09pm
ISNARAISSAH menunjukkan keadaan jerebu di seluruh negara berdasarkan data Pusat Metereologi Khas Asean (ASMC). - Foto Mikail Ong

Pembenihan awan di Selangor, Johor bermula esok

GEORGETOWN: Proses pembenihan awan bagi mengurangkan keadaan jerebu dijadualkan esok di beberapa negeri di Semenanjung oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Timbalan Menteri, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata proses itu lebih tertumpu di Selangor dan Johor yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

“Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang dengan kerjasama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan Jabatan Meteorologi Malaysia. Operasi ini akan dimulakan dengan taklimat pada jam 8.30 pagi dan pembenihan awan akan dimulakan pada jam 11.00 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk merasmikan Program Larian Warisan 110 anjuran Jabatan Kimia Malaysia di Padang Kota Lama di sini.

Acara sempena menyambut 110 tahun penubuhan jabatan itu turut disertai Ketua Pengarah Kimia Malaysia Mohamed Zaini Abdul Rahman membabitkan 1,115 orang peserta dari seluruh negara.


CHOW Kon Yeow dan Isnaraissah (kanan) sebelum perasmian Program Larian Warisan 110 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Isnaraissah berkata, pembenihan awan yang dijalankan di Sarawak Khamis lalu berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri itu selepas menjadi negeri yang paling terjejas akibat jerebu daripada kebakaran terbuka di Kalimantan.

“Pembenihan awan hanya akan dapat dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai. Mudah-mudahan esok keadaan lebih membantu supaya proses pembenihan awan lebih efektif untuk dijalankan,” katanya.

Katanya, selain punca pembakaran terbuka di Kalimantan, data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan pembakaran terbuka di Sumatera.

Katanya, Malaysia menerusi Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran di negara itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Paling penting kita perlu fokus kepada sumber yang betul-betul menyebabkan jerebu. Kalau buat (pembenihan awan) di tempat kita (Malaysia), ia hanya boleh mengurangkan jerebu untuk sekejap sahaja, nanti asap datang lagi,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X