Sabtu, 14 September 2019 | 6:10pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran besar di Pekan Sungai Lembing. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Agong minta semua bantu mangsa kebakaran Sungai Lembing

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta semua pihak menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa kebakaran Sungai Lembing di sini, membina semula rumah mereka.

Baginda berharap, semua pihak tampil membantu mangsa memandangkan struktur bangunan di pekan Sungai Lembing sudah usang dan boleh mendatangkan bahaya kepada penghuni.

“Saya dimaklumkan bangunan di sini begitu usang dan lama yang mungkin ada bahayanya. Jadi, bangunan sebegini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dalam insiden sebegini.

“Saya harap penghuni (yang masih tinggal) di sini dapat membuat persiapan serta berbincang dengan pihak berkuasa bagi mencari tempat alternatif kerana kawasan ini nampak ketinggalan dan usang. Saya harap agensi terbabit dapat membantu,” titah baginda,” titahnya.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninjau keadaan sekitar kawasan kebakaran di pekan Sungai Lembing. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Baginda bertitah demikian ketika melawat dan bertemu 32 mangsa kebakaran Sungai Lembing di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dua anakanda baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah.

Ketika bertitah, baginda dan Permaisuri turut menzahirkan ucapan simpati dan berharap kerajaan negeri cakna bagi membantu masalah yang dihadapi mangsa.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu mangsa kebakaran di sini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Saya akan mengawasi dari segi tindakan susulan.

“Saya juga bersimpati di atas kehilangan dua penghuni bangunan di sini. Diharap keluarga mangsa dapat bersabar dan kehadiran saya di sini semata-mata untuk menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku,” titah baginda.

Baginda yang memandu sendiri pacuan empat roda bersama Permaisuri Agong tiba kira-kira jam 3 petang meluangkan masa kira-kira sejam bertemu mangsa bagi menghulurkan sumbangan dan melawat tapak kebakaran.

Dalam kejadian 31 Ogos lalu, sebanyak 32 unit kediaman, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan awam musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi yang turut mengorbankan sepasang warga emas.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat mengenai mangsa yang terjejas bagi membantu mereka mendapatkan kediaman.

“Selepas kita mendapatkan maklumat, kita akan berbincang dan fikirkan bentuk bantuan yang akan diberikan kepada mereka.

Berita Harian X