Sabtu, 14 September 2019 | 3:06pm
Presiden Ceupacs, Datuk Azih Muda mengecam perbuatan penjawat awam mengkhianati amanah diberikan dan sanggup bersekongkol dengan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga asing. - NSTP/Rohanis Shukri

CUEPACS kecam pihak jual MyKad

KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengecam perbuatan penjawat awam mengkhianati amanah diberikan dan sanggup bersekongkol dengan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga asing.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata tindakan penyelewengan itu bukan perkara biasa dan tidak dapat diterima.

“CUEPACS kecewa dengan kes itu. Dalam pada kita bercakap soal integriti, keluhuran dan amanah, masih ada penjawat awam mementingkan diri sanggup menjual maruah dan negara.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah jabatan penting yang memastikan negara dihuni warganegara secara sah mengikut undang-undang ditetapkan.

“Apa yang dilakukan tidak boleh diterima sama sekali dan seolah-olah menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA selepas merasmikan Persidangan Tritahunan Perwakilan CUEPACS Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah CUEPACS Kelantan, Aminuddin Awang.

Pada 11 September lalu, polis membongkar sindiket penjualan MyKad kepada warga China yang didalangi pegawai JPN.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun pemohon didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Ia dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Ariffin, 34, antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang berhubung sindiket penjualan sijil kelahiran dan MyKad sah kepada warga asing.

Azih berharap kerajaan mengadakan proses semak dan imbang untuk memastikan perkara berkenaan tidak berulang.

“Perlu ada perimbangan dari segi sumber manusia dan tidak hanya bergantung kepada mesin bagi pengesahan MyKad,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap isu berkaitan penjawat awam dalam Belanjawan 2020, termasuk isu semakan gaji yang hampir 17 tahun tidak dilaksanakan selain insentif. – BERNAMA

Berita Harian X