Sabtu, 14 September 2019 | 2:44pm
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Dr K Nagulendran (dua dari kiri), Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafee Yasin (kiri) melihat asap kesan pembakaran terbuka yang dilakukan pekebun sayur di Johan Setia. - NSTP/Faiz Anuar

Kerajaan fokus pembakaran terbuka atasi jerebu

KLANG: Kerajaan akan memberi lebih fokus kepada pembakaran terbuka di setiap kawasan bagi mengatasi masalah jerebu yang sedang melanda negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dr K Nagulendran, berkata fokus berkenaan dibuat supaya tindakan pantas dapat dilakukan dengan kadar segera sekali gus mengelakkan situasi jerebu menjadi lebih teruk.

Katanya, pada masa sama, pihaknya juga turut mengeluarkan amaran supaya semua pihak tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka ketika ini.

“Kita mahu ingatkan semua pihak supaya tidak sesuka hati membakar apa-apa dan mana-mana pihak yang melanggar arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM500,000 dan penjara kira-kira lima tahun,” katanya ketika ditemui selepas melawat kawasan sekitar Johan Setia, di sini, hari ini.


Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memeriksa kesan pembakaran terbuka yang dilakukan pekebun sayur di Johan Setia. - NSTP/Faiz Anuar

Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norhazni Mat Sari; Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Haron Tahir; Pengarah JAS Selangor, Shafee Yasin dan Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor.

Sementara itu, Shafee berkata, proses pembenihan awan akan dilakukan di Selangor sekiranya ia diperlukan.

Katanya, hasil perbincangan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Khamis lalu, kerajaan Selangor sudah bersetuju untuk menggunakan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Bagaimanapun, semua tindakan ini bergantung kepada keadaan semasa tetapi jabatan makmal sudah datang untuk berbincang mengenai perkara ini (pembenihan awam) semalam.

“Kita juga sudah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu, lawatan berkenaan turut memantau beberapa kemudahan seperti pili bomba serta pusat bacaan cuaca di Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

Ketika ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU)di Johan Setia, antara yang mencapai tahap tidak sihat iaitu melebihi bacaan 200.

Berita Harian X