Sabtu, 14 September 2019 | 12:35pm
Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan himpunan aman tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan UMT dan Unisza di Dewan Sultan Mizan UMT, Gong Badak, Khamis lalu. - NSTP/Ghazali Kori

Majlis Profesor UMT bantah penggabungan UMT-UniSZA

KUALA TERENGGANU: Majlis Profesor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan universiti terbabit dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sebagai badan yang hampir semua ahlinya Senat UMT, berkata misi dan visi kedua-dua universiti adalah berbeza.

“Kami berpandangan bahawa UMT dan UniSZA tidak mempunyai banyak pertindihan dari segi pengkhususan dan kebitaraan untuk digabungkan selain daripada faktor jarak fizikal antara kedua-dua universiti,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kabinet pada 4 September lalu dilaporkan bersetuju pada dasarnya dengan langkah penggabungan itu yang bertujuan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Mengikut kenyataan itu juga, UMT mempunyai perancangan yang rapi bagi mencapai visi untuk menjadi universiti yang tersohor dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.

“Pelan Strategik UMT 2018-2022 mempunyai lapan teras utama iaitu penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, bakat, pembangunan pelajar, pemindahan ilmu dan jaringan industri, pengantarabangsaan, citra dan kelestarian kewangan akan memastikan UMT mampu melonjak sebagai universiti yang tersohor dalam tujahan ini.

“Berkaitan dengan prestasi dan pencapaian UMT, QS Ranking Asia bagi universiti adalah 291-300 dan untuk penarafan SETARA 2017, UMT sudah mencapai tahap 5 bintang,” katanya.

Majlis itu turut berpandangan bahawa sebarang keputusan mengenai penggabungan haruslah dibuat berasaskan kajian menyeluruh serta mengambil kira pandangan kesemua pemegang taruh.

Katanya, ini akan dapat memastikan keputusan yang adil dan saksama dapat dicapai dan tidak ada pihak yang dipinggirkan.

“Disebabkan perbezaan hala tuju antara kedua-dua universiti dan tiadanya kajian impak yang menyeluruh mengenai impak penggabungan ini, maka kami sebagai Majlis Profesor UMT tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan di antara kedua-dua universiti ini,” katanya.

Berita Harian X