Sabtu, 14 September 2019 | 8:43am
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Jabatan Pertanian, Mohd Nasir Waris (tiga kanan) dan Pengerusi MPC, Tian Chua (kiri) melawat gerai pameran selepas majlis pelancaran EZi myGAP di AEON Mall Metro Prima Kepong, semalam. - Foto Zunnur Al Shafiq

Boikot produk keluaran bukan Bumiputera akan rosakkan ekonomi negara - Salahuddin

JOHOR BAHRU: Gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera akan merosakkan ekonomi negara dan membawa permusuhan antara rakyat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata walaupun pengguna Islam perlu mencari makanan halal, kempen memboikot produk bukan Bumiputera bukan jalan terbaik.

“Baru-baru ini, ada kempen yang cuba dibuat oleh pihak tertentu supaya memboikot barang bukan Islam.

“Saya ingin beritahu pada malam ini, orang Islam memang perlukan barangan makanan halal tetapi kita tidak boleh boikot (barangan bukan Bumiputera). Itu tindakan salah…tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Perayaan Kuih Bulan 2019 anjuran Persatuan Kebudayaan Qiong Min Khek Chow Yek Johor Bahru, di sini, malam tadi.

Mutakhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera dan membeli produk keluaran Bumiputera.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pengguna Islam tidak sepatutnya berfikiran sedemikian dan perlu membayangkan kesan boikot itu kepada negara dan rakyat.

“Saya sebagai menteri (Pertanian dan Industri Asas Tani) sentiasa menggalakkan rakyat menanam buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada orang Cina tanam durian, ada orang Melayu tanam durian. Ada orang India tanam sayur dan ada orang India buat kebun besar, ternak lembu dan kambing.

“Cuba bayangkan kalau kita (orang Melayu) setuju boikot, macam mana kalau kita tanam durian, orang Cina tidak beli, macam mana kalau nelayan kita tangkap ikan tetapi orang India tidak beli…apa akan terjadi kepada negara kita,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X