Sabtu, 14 September 2019 | 12:27am
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) ketika ditemui pada Program Ceramah Perdana Penyatuan Ummah UMNO - PAS di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sudah bekerjasama, jangan tamak rebut kerusi

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO dan PAS diingatkan supaya tidak bersikap tamak untuk berebut kerusi selepas mewujudkan kerjasama politik jika mahu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata soal pengagihan kerusi yang akan ditandingi PAS dan UMNO akan diputuskan Presiden parti masing-masing.

Katanya, ini kerana beliau mendengar soal penentuan kerusi sudah mula dibangkitkan di peringkat bawah apabila UMNO dan PAS bersetuju untuk mewujudkan kerjasama politik menerusi Piagam Muafakat Nasional.

“Jangan cepat sangat cerita pasal kerusi yang hendak ditandingi. Soal kerusi, pandailah nanti Presiden kita berpakat dengan elok.

“Jangan yang bawah (pemimpin) fikir pasal kerusi, hendak bahagi kerusi macam mana. Kalau kita hendak menang, kita pakat elok-elok.

“Sekarang ini saya dengar sudah ada bunyi pasal kerusi. Jangan siang-siang lagi kita sudah tamak, nanti kalah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Ceramah Perdana Penyatuan Ummah UMNO - PAS di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

Yang turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohamad berkata, pemimpin UMNO dan PAS perlu memastikan kerjasama yang diwujudkan ini dijaga sebaik mungkin kerana ia ibarat benih yang baru disemai.

Katanya, jika kerjasama UMNO dan PAS ini berhasil, negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) ketika ini akan berjaya dirampas semula.

Beliau turut mengingatkan supaya PAS dan UMNO berhenti bertelagah, sebaliknya perlu menumpukan kepada perkara utama kerjasamana kedua-dua parti iaitu untuk memenangi PRU-15.

“Kedua-dua parti jangan saling ‘menyembur’ racun, sebaliknya memandang ke hadapan dan mengenepikan perkara remeh yang pernah berlaku sebelum ini.

“InsyaAllah, jika kita bekerjasama, Melaka kita boleh rampas, Perak, Kedah pun kita boleh ambil balik. Negeri Sembilan pun saya tengok kita boleh rampas.

“Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang kita yakin boleh dikekalkan. Selangor saja saya belum dapat baca kerana taburan kaumnya agak rumit,” katanya.

Berita Harian X