Khamis, 12 September 2019 | 9:01pm
LEBIH 1,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhimpun petang ini untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan penggabungan universiti itu dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Foto Ghazali Kori

1,000 berhimpun tolak penggabungan UMT-UniSZA

KUALA NERUS: Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhimpun petang ini untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan penggabungan universiti itu dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Himpunan aman lebih sejam anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin juga bertujuan mengumpul suara dan tuntutan mahasiswa universiti itu secara kolektif mengenai usaha penggabungan dengan UniSZA, untuk dihantar kepada Kementerian Pendidikan.

Yang Dipertua MPP UMT 2018/2019, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin, 22, berkata antara tuntutan akan dikemukakan ialah pembabitan wakil pelajar UMT dalam perbincangan mengenai cadangan penggabungan itu.

“Kami sendiri tidak tahu isu penggabungan ini sejak awal, sebaliknya mengetahuinya selepas Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan media mengenainya dan ia sangat mengejutkan.

“Disebabkan itu kami berhimpun di sini hari ini untuk membantah dan menolak cadangan penggabungan UMT serta UniSZA,” katanya selepas Himpunan Tolak Penggabungan UMT-UniSZA di sini, petang tadi.

Beliau berkata, sebelum himpunan diadakan, pihaknya mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian Pendidikan dan sudah menyuarakan bantahan serta tuntutan untuk diangkat kepada pihak atasan kementerian.

“Bagaimanapun, agak menyedihkan kerana kami dimaklumkan antara asas cadangan penggabungan dibuat kerana laporan prestasi universiti dibentangkan April lalu.

“Persoalannya apabila ditanya adakah prestasi UMT begitu buruk sehingga mahu digabungkan dengan UniSZA, beliau gagal menjawab dengan alasan bukan orang yang layak menjawabnya,” katanya.

Beliau berkata, MPP UMT juga akan menghantar petisyen kepada Kementerian Pendidikan bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan penggabungan universiti itu jika usaha perbincangan secara baik tidak berhasil.

Katanya, buat masa ini pihaknya dengan kerjasama alumni UMT sudah melancarkan petisyen bantahan dalam talian di https://www.change.org/p/pm-malaysia-bantahan-penggabungan-umt-unisza sejak Isnin lalu dan sehingga kini sudah berjaya mengumpul lebih 9,000 tandatangan yang melebihi sasaran awal mengumpul 500 tandatangan.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 1 MPP UMT, Nur Ainaa’ Meor Ahmad Nazizan, 22, berkata badan itu dan seluruh pelajar universiti sepakat menolak penggabungan itu yang bukan saja demi nasib 10,000 pelajar universiti itu, tetapi juga seluruh warga UMT.

“Himpunan ini secara aman bagi menggambarkan kematangan pelajar UMT berdepan isu penggabungan ini dan kami menolak cadangan penggabungan kerana mahu identiti UMT yang unik dan tersendiri serta berfokuskan kelautan dikekalkan.

“Kami memperjuangkan nasib 10,000 pelajar, semua kakitangan yang terbabit dan alumni graduan UMT sendiri yang mana andai penggabungan ini berlaku, di mana tempat mereka satu hari nanti?

“Justeru kami tetap dengan pendirian menolak penggabungan UMT-UniSZA kerana kami ada kekuatan tersendiri dan percaya tidak akan ada lagi universiti seperti UMT di negara ini,” katanya.

Berita Harian X