Khamis, 12 September 2019 | 6:47pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) ketika bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo (kanan). - Foto BERNAMA

Dr Wan Azizah bertemu Jokowi zahirkan takziah kepada Indonesia

JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo dan menzahirkan ucapan takziah Malaysia kepada Indonesia atas pemergian presiden ketiga republik itu, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie.

Pertemuan singkat selepas majlis pengebumian Allahyarham BJ Habibie di Taman Makam Pahlawan, Kalibata di sini, turut dihadiri Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Zainal Abidin berkata dalam pertemuan itu, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Presiden dan seluruh rakyat Indonesia.

“Malaysia menganggap mantan Presiden BJ Habibie sebagai rakan terdekat Malaysia dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat rantau ini.

“BJ Habibie adalah satu ikon penting yang banyak berjasa dalam merapatkan hubungan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Dr Wan Azizah yang tiba pada jam 11.45 pagi tadi waktu tempatan, turut menziarahi jenazah BJ Habibie di kediaman bekas presiden itu di Patra Kuningan, sebelum menghadiri majlis pengebumian yang diadakan dengan penuh istiadat pemakaman ketenteraan di MPM, Kalibata.

BJ Habibie meninggal dunia pada jam 6.05 petang semalam di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999. - BERNAMA

Berita Harian X