Khamis, 12 September 2019 | 5:05pm
SAIFUDDIN (belakang dua, kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian penerima penerima pada Majlis Penyerahan Chiller Truck kepada Yayasan Food Bank Malaysia di kementeriannya. - Foto BERNAMA

Harga barang turun sebab kuasa pasaran, bukan boikot - Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan penurunan harga barangan tertentu disebabkan kuasa pasaran dan bukan kerana tindakan boikot dilakukan sesetengah pihak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setakat ini tidak ada fakta yang boleh mengesahkan bahawa harga barang turun kerana tindakan boikot.

“Saya faham katanya harga minyak masak turun, namun turun atau naik harga ia bergantung kepada kuasa pasaran, kalau sumber utamanya itu harga jatuh, harga runcit akan jatuh.

“Ataupun kalau permintaan banyak, jadi ia bergantung permintaan dan penawaran, itu prinsip asas ekonomi. Jadi kita tidak mahu kaitkan dengan boikot, sebab setakat ini tidak ada siapa boleh sahkan (sebab itu),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 14 unit trak pendingin kepada Yayasan Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa kempen memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera berjaya menurunkan harga barangan tertentu termasuk harga minyak masak di pasaran.

Dalam pada itu, mengulas Program Food Bank Malaysia, Saifuddin Nasution berkata, sejak dilaksanakan bermula Ogos tahun lalu, pihaknya belum lagi menerima aduan bahawa bekalan makanan yang diagihkan tidak berkualiti.

“Setakat ini tidak ada sebarang aduan berkenaan projek ini membekalkan makanan yang dianggap substandard.

“Ini kerana program ini sangat mementingkan kualiti makanan yang mana kita lakukan penyisihan antara makanan baik dan kurang baik, saya harap disiplin ini terus kekal dan menjadi keutamaan kami,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, 14 trak pendingin yang disediakan hasil peruntukan RM3 juta oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini bertujuan memudahkan logistik bagi pelaksanaan Program Food Bank Malaysia.

“Trak yang mampu memuatkan satu tan barang makanan ini akan mendapatkan bekalan daripada syarikat pembekal termasuk pasar raya dan hotel sebelum bergerak ke lokasi terpilih bagi pengagihan termasuk di kampus universiti.

“Dengan adanya kemudahan trak ini, pastinya akan meningkatkan keupayaan kami untuk memperluaskan pelaksanaan program Food Bank Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata, sejak Ogos tahun lalu juga, lebih 650 tan makanan diagihkan menerusi program berkenaan membabitkan 238,000 penerima.

Berita Harian X