Khamis, 12 September 2019 | 3:45pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika melawat Balai Berita. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Kerajaan kutuk pihak ugut wartawan

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, hari ini mengadakan pertemuan dengan wartawan BH yang menerima ugutan bunuh susulan laporan pendedahan yang dibuat akhbar ini minggu lalu.

Beliau yang tiba di Balai Berita di sini, jam 11.50 pagi, meluangkan masa lebih 30 minit untuk mendengar sendiri mengenai bentuk ugutan yang diterima wartawan berkenaan.

Dalam pertemuan yang turut disertai pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Gobind turut berkongsi mengenai isu semasa termasuk berkaitan industri media di negara ini.


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (dua kiri), Ketua Pengarang NST, Rashid Yusof (kanan), Ketua Pengarang BH, Khaidir A. Majid (kiri) dan Ketua Pengarang Harian Metro, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein ketika melawat Balai Berita. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika melawat Balai Berita. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Selesai itu, Gobind turut melawat Editorial NSTP dan diberi taklimat berkenaan pengoperasian bilik berita.

Beliau turut beramah mesra dengan wartawan BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengarang Kumpulan NST, Rashid Yusof; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Gobind berkata kerajaan mengutuk keras sebarang tindakan mengancam ataupun mengugut wartawan ketika mereka melaksanakan tugasnya.

“Kita perlu faham tugas wartawan. Seseorang wartawan tugasnya untuk melihat kepada fakta dan melaporkan fakta yang ada berdasarkan pengetahuan beliau.

“Sekiranya sesuatu laporan atau rencana tidak betul ataupun perlu dilihat dalam konteks lain, kita ada saluran di mana kita boleh menghubungi wartawan berkenaan dan mengutarakan pandangan atau boleh perbetulkan konteks dan fakta itu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu pasti dialu-alukan oleh wartawan kerana mereka akan melihat kepada artikel berkenaan dan apa-apa bahan akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan.

“Tidak perlu ada sebarang ancaman dan saya melihat ugutan itu adalah ugutan serius. Saya harap polis mengambil tindakan, kerana ini perkara penting kepada saya selaku menteri dan saya berharap supaya satu siasatan akan dijalankan,” katanya.

Berita Harian X