Khamis, 12 September 2019 | 12:23am
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AFP

Malaysia kutuk rancangan Netanyahu

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk keras kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung rancangannya untuk memperluaskan pendudukan negara itu di Wilayah Palestin di Tebing Barat.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam, berkata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu akan menjejaskan sebarang usaha untuk membawa penyelesaian jangka panjang dan keamanan di Timur Tengah.

“Ia memperlihatkan bahawa langkah Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Majlis Keselamatan PBB.

“Ini pastinya perkembangan yang berbahaya yang menuntut perhatian penuh komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan, Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, diduduki Israel secara haram selama beberapa dekad lamanya sehingga sekarang.

“Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak tegas terhadap sikap negara itu yang jelas tidak menghormati peraturan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Netanyahu dilaporkan mengumumkan rancangannya untuk meluaskan pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya beliau dipilih semula pada pilihan raya minggu depan. - BERNAMA

1092 dibaca
Berita Harian X