Khamis, 12 September 2019 | 12:03am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditemubual pemberita selepas menghadiri majlis makan malam gala sempena sambutan ulang tahun ke-35 Universiti Binary. - Foto BERNAMA

Kabinet bincang isu jerebu

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini membincangkan masalah jerebu yang melanda seluruh negara dan kaedah menanganinya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita bincang cara-cara untuk kurangkan jerebu,” kata Perdana Menteri ringkas kepada pemberita, selepas Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-35 Universiti Binary di sini, malam tadi.

Beliau juga enggan mengulas dakwaan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya, bahawa jerebu yang menyelubungi Malaysia berpunca dari Sarawak.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak memandang serius kenyataan berkenaan.

“Tidak apalah, itu dia punya komen, kita tak kata apalah,” katanya.

Hari ini, Siti Nurbaya mendakwa akan menulis surat kepada Duta Besar Malaysia di Jakarta untuk disampaikan kepada menteri yang berkenaan.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, menegaskan Malaysia mengulangi kebimbangan berhubung kesan jerebu rentas sempadan yang berterusan kepada penduduk negara ini.

Pada masa sama, katanya, Malaysia turut menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera di Indonesia.

Perkara itu dinyatakan Bee Yin dalam pertemuan bersama Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia, Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya, Agung Cahaya Sumirat, hari ini.

Pertemuan turut disertai pegawai kementeriannya dan Kementerian Luar.

“Dari segi diplomatik, maklumat terkini menyatakan Duta Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar, mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Indonesia semalam untuk berbincang mengenai jerebu rentas sempadan yang ketika ini menjejaskan Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam akaun Facebook rasminya, hari ini.

1813 dibaca
Berita Harian X