Rabu, 11 September 2019 | 9:59pm

21 IPG disyor tutup mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Sebanyak 21 daripada 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara dicadang ditutup secara berperingkat mulai tahun depan.

Serentak itu, tahun ini difahamkan menjadi tahun terakhir pengambilan penuntut oleh 21 institusi terbabit.

Selepas ini, hanya enam kampus IPG dikatakan akan terus beroperasi dengan tanggungjawab lebih besar bagi melatih bakal guru diberikan kepada universiti awam (UA).

Pengumuman terperinci mengenai perkara berkenaan dijangka dibuat pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

Sumber memberitahu BH, 10 daripada kampus yang dicadang ditutup, dirancang dijadikan pusat latihan dalam perkhidmatan dan juga berstatus secara wujud bersama (co-exist) dengan Kolej Vokasional (KV) dan politeknik.

“Baki 11 lagi IPG yang dicadang ditutup itu dirancang dijadikan Institut Latihan Awam (ILA) atau untuk tujuan lain,” katanya.

Dalam Bajet 2017 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, tujuh IPG diumumkan akan ditukar status kepada KV atau politeknik, manakala dua lagi akan diubah fungsinya menjadi Pusat Permata Negara yang kini dikenali dengan nama Program Genius.

Dua IPG diumum menjadi Pusat Permata ketika itu adalah Kampus Raja Melewar di Negeri Sembilan dan Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang. Bagaimanapun, bantahan pelbagai pihak menyebabkan cadangan berkenaan ditangguhkan.

Susulan itu, pada Mac lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan kerajaan membatalkan keputusan pentadbiran terdahulu yang mahu IPG terbabit ditukar fungsi selepas melihat banyak pandangan dan keperluan untuk diteruskan.

Bagaimanapun, kebelakangan ini timbul semula desas-desus mengenai cadangan menutup 21 IPG secara berperingkat mulai tahun depan.

Sumber berkata, pada awal bulan lalu, rektor dan pegawai kanan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sudah dipanggil Ketua Setiausaha Negara untuk membincangkan cadangan penutupan berkenaan.

“Rektor IPGM kemudian memanggil semua pengarah IPG seluruh negara untuk memaklumkan cadangan itu. IPG yang bakal ditutup belum dimuktamadkan, tetapi difahamkan kebanyakannya adalah di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Alasan penutupan adalah bagi tujuan penjimatan kewangan kerajaan untuk menyelenggara institusi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sumber berlainan memberitahu BH, antara IPG bakal ditutup adalah Kampus Bahasa Melayu dan Kampus Bahasa Antarabangsa di Lembah Pantai, selain Kampus Ilmu Khas di Cheras.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh salah seorang pegawai kanan IPGM yang terbabit menyediakan kerja kertas cadangan penutupan berkenaan.

“Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kerajaan perlu beri jaminan bahawa kebajikan pensyarah di IPG akan diberi perhatian sewajarnya terutama dari segi jarak penempatan mereka di organisasi atau institusi baharu,” katanya.

Berita Harian X