Rabu, 11 September 2019 | 2:45pm

Kerajaan setuju penggabungan UMT dan UniSZA

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September lalu.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan memaklumkan penggabungan itu dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Katanya, ini terutama dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosio ekonomi, selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi).

“Inisiatif ini juga akan memacu pembangunan industri negeri Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti untuk mendapatkan pelajar, kakitangan dan sumber.

“Penggabungan institusi adalah satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

“Ini melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada yang boleh diguna pakai,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, perkara sama dilakukan oleh universiti dan kolej di beberapa negara, antaranya University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom.

“Penggabungan institusi juga berlaku di Australia dan Amerika Syarikat, di mana penggabungan institusi pendidikan tinggi dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan, nilai dan daya saing sesebuah institusi baharu.

“Kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

“Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil dari kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta pelbagai agensi, kementerian dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan,” katanya.

Berita Harian X