Isnin, 9 September 2019 | 3:28pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. NSTP/Danial Saad

Mohamed Azmin ketuai delegasi Malaysia ke UAE

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengetuai delegasi Malaysia pada Meja Bulat Peringkat Menteri Mengenai Tenaga Asia ke-8 (AMER8) dan Kongres Tenaga Dunia ke-24 (WEC24), sempena lawatan kerjanya ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan, berkata delegasi negara mengambil bahagian dalam semua sesi AMER8 dan WEC24 bagi berkongsi pandangan, idea dan persepktif baharu berhubung teknologi dan penyelesaian inovatif dalam menangani isu jaminan tenaga, kelestarian dan kemampuan.

“Lawatan kerja Mohamed Azmin bermula semalam hingga Rabu ini untuk terbabit secara aktif dalam perbincangan strategik dengan pemimpin di AMER8 dan WEC24 bagi mencetuskan idea dan penyelesaian baharu dalam menangani isu berkaitan akses kepada jaminan tenaga, kemampanan dan kemampuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ketibaan Mohemad Azmin disambut oleh Menteri Tenaga dan Industri UAE, Suhail Al Mazrouei dan kedua-dua menteri itu mengadakan perbincangan yang produktif mengenai bidang berpotensi bagi jalinan kerjasama ekonomi dan peluang pelaburan antara Malaysia dan UAE termasuk penyertaan syarikat UAE dalam projek infrastruktur awam Malaysia.

Dalam lawatan kerja itu, Mohamed Azmin turut diberi penghormatan mengadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE.

Pertemuan itu adalah susulan lawatan khas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke UAE pada Jun lalu, sebelum kunjungan balas Putera Mahkota Abu Dhabi itu sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Julai lalu.

“Dalam kunjungan balas itu, baginda mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohamed Azmin bagi membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Bersama (JIC) antara Malaysia dan Abu Dhabi bagi meningkatkan hubungan ekonomi dan memudahkan pelaburan antara kedua-dua negara.

“JIC dijangka menjadi topik utama perbincangan dalam pertemuan antara Mohamed Azmin dan baginda,” katanya.

Mohamed Azmin juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala di luar AMER8 dan WEC24 dengan Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Industri Brunei, Datuk Seri Setia Dr Awang Mat Suny Md Hussein serta Menteri Petroleum & Gas Asli dan Menteri Keluli India, Dharmendra Pradhan.

Mesyuarat dua hala itu akan membincangkan langkah proaktif untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan Brunei serta India.

Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, diplomat dari Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan pengurusan kanan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

Berita Harian X