Ahad, 8 September 2019 | 6:09pm
KEADAAN jerebu di Taman Negara Wetlands, Samarian, Petra Jaya. - Foto BERNAMA

8 stesen catat IPU tidak sihat, 2 sangat tidak sihat - JAS

PUTRAJAYA: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada jam 12 tengah hari tadi menunjukkan tiada stesen mencatat status kualiti udara pada tahap baik.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan, 58 stesen mencatat status kualiti udara tahap sederhana, manakala lapan stesen pada tahap tidak sihat.

Lapan stesen itu meliputi tujuh di Sarawak, iaitu Samarahan dengan bacaan IPU 200, Sibu (185), Mukah (177), Miri (155), ILP Miri (142), Kuala Baram (116) dan Bintulu (110), serta satu lagi di Selangor membabitkan Johan Setia (124).

Menurut kenyataan itu lagi, dua stesen pula mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat di Sarawak, iaitu Sri Aman (238) dan Kuching (223), menurut kenyataan itu.

Katanya, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, masih menyebabkan jerebu merentas sempadan serta memberi kesan peningkatan bacaan IPU di semua kawasan sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.

“Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian di Jalan 9, Johan Setia, Klang, memberi kesan peningkatan bacaan IPU di Stesen Johan Setia, dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang,” menurut kenyataan itu.

Menurut JAS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memadamkan api berkenaan, sementara pihak JAS Selangor dalam usaha mencari pemilik tanah untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian turut dipertingkat ke kawasan berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, serta bacaan IPU dipantau dari semasa ke semasa.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, 116 tompok panas dikesan di Sumatera, Indonesia.

Selain itu, 646 tompok panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, Brunei (satu) dan Malaysia (52), iaitu di Sarawak (40) serta masing-masing enam tompok panas di Sabah dan Johor.

“Ada tompok panas tidak dapat dicerap imej satelit disebabkan litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X